Pertemuan Naib Presiden MIC, T Murugiah dan Kohilan bertemu Abdul Hadi Awang di Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah melahirkan penghargaan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kerana campur tangan membenarkan aktiviti perarakan upacara sembahyang Navarathiri 2023 di Kuil Sri Kailasa Nathar di Kuala Terengganu hari ini.

Menurutnya, beliau yang menerima aduan daripada pemegang amanah kuil itu bahawa upacara perarakan itu telah ditolak oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) baru-baru ini.

Bagaimanapun Murugiah mendedahkan dalam satu pertemuan singkat Murugiah dan Datuk Kohilan Pillay dengan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang di Parlimen – pihaknya telah mengemukakan rayuan supaya perarakan itu dibenarkan.

“Untuk pengetahuan anda, selama beberapa tahun ini sememangnya tidak masalah cuma tahun ini ia telah ditolak atas sebab-sebab tertentu.

“Pihak kuil sudah memohon rayuan, apabila saya dimaklumkan tentang isu ini, saya terus ke Parlimen untuk berjumpa dengan Presiden Pas, Tan Sri Hadi Awang. Walaupun hanya sebentar beliau dengar tentang isu ini namun sejam dua selepas itu surat persetujuan telah dikeluarkan MBKT.

“Kami dalam kalangan masyarakat India amat hargai kepantasan dan komitmen beliau dalam tangani perkara ini, terima kasih Tan Sri,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Untuk makluman, MBKT telah membenarkan aktiviti perarakan  bermula dari Kuil Sri Kailasa Nathar Alayam melalui Jalan Cherong  Lanjut menuju ke Jalan Air Jernih melalui Wisma Perkeso sehingga persimpangan lampu isyarat Jalan Kemajuan menuju ke persimpangan Wisma TNB hingga kembali ke kuil berkenaan pada malam ini. – MalaysiaGazette