Gambar hiasan

IPOH – Seorang pesara wanita kerugian RM127,560 selepas diperdaya sindiket penipuan phone scam yang menyamar sebagai kakitangan syarikat kurier dan anggota polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa berusia 61 tahun yang berasal dari Kampung Sungai Tapah Tambahan di sini, membuat laporan polis berkaitan penipuan itu semalam.

Mohd Yusri berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa menerima panggilan telefon pada 25 September lalu daripada individu yang memperkenalkan dirinya sebagai kakitangan syarikat kurier sebelum mendakwa wanita itu mempunyai satu bungkusan ‘bermasalah’.

“Panggilan telefon itu kemudian disambungkan kepada lelaki yang mendakwa sarjan dan inspektor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang sebelum mangsa diperdaya untuk menunjukkan gambar hadapan kad banknya.

“Bertindak atas arahan suspek, mangsa mengalami kerugian RM127,560 selepas membuat tiga transaksi ke atas tiga bank milik individu berbeza antara 9 hingga 10 Oktober.

“Mangsa hanya sedar dirinya diperdaya selepas anak perempuannya memeriksa telefon bimbitnya sebelum dia tampil membuat laporan polis semalam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Mohd Yusri turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan waspada dengan panggilan telefon yang mencurigakan khsususnya mereka yang mendakwa agensi kerajaan serta meminta butiran akaun bank peribadi. – MalaysiaGazette