Ridhuan Tee Abdullah
Mohd. Ridhuan Tee Abdullah.

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee kecewa dengan tindakan segelintir pengacara yang dikatakan kurang beradab semasa mengendalikan sesebuah rancangan atau program televisyen.

Ridhuan atau Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, seorang pengacara yang bijak tidak akan membuat lawak bodoh termasuk menyentuh hal peribadi seseorang semasa mengacara.

Beliau juga berpendapat agar stesen televisyen perlu memandang serius tingkah laku setiap pengacara kerana dibimbangi boleh menjadi contoh tidak baik kepada penonton.

“Sekarang ini ketara sangat, pengacara (host) televisyen atau program realiti televisyen, mahu sangat menonjol hingga adab ke longkang.

“Host atau sesiapa sahaja yang melibatkan diri dengan khalayak, sepatutnya terkenal dengan ilmu bukan dengan lawak bodoh dan cuitan bodoh. Saranan saya supaya host banyakkan membaca,” katanya

Beliau berkongsi perkara itu di akaun Facebook miliknya susulan isu pengacaraan hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini.

Sementara itu, Ridhuan berkata tindakan memintas atau potong percakapan dan menyindir juri juga tidak sepatutnya dibuat oleh pengacara.

Beliau yang miliki pengalaman dalam bidang pengacaraan sejak 1990 juga memberitahu persiapan ilmu adalah sesuatu yang sangat penting.

“Paling jelek apabila memotong juri ketika bercakap dan menyentuh peribadi mereka. Nak potong cakap boleh, tapi kena ada adabnya atau ada perkara mendesak yang penting ingin ketahui.

“Pengacara perlu buat persiapan dan kajian sikit, kalau pun tidak banyak. Elakkan lawak-lawak bodoh yang menyentuh peribadi orang. Perkara ini amat ketara dalam program realiti hari ini.

“Stesen TV memanglah nakkan semua ini, sebab dia mahu rating tapi masalahnya orang melihat kita (pengacara),” katanya lagi.

Berkongsi pandangannya lagi, Ridhuan meminta pengacara sentiasa bersedia dan penuhkan diri dengan ilmu supaya lebih yakin apabila berada di pentas.

“Selain itu, host juga diminta bercakap dengan artikulasi yang jelas, serta bahasa tubuh (gesture) yang baik. Perkara sebegini dapat memikat dan meyakinkan serta profesional di mata penonton.

“Jika kita yakin diri dan berilmu, insyaAllah, selanjutnya kita dapat memandu program dan dapat menghidupkannya sesuai dengan program.

“Tidak dinafikan unsur jenaka ini penting, tetapi biarlah jenaka ada ilmu dan memberi impak. Perkara ini penting untuk menghindari program yang dipandu menjadi stres dan kaku.

“Pada masa sama, lihat juga siapa sasaran kita, agar jenaka kita dapat disampaikan dapat diterima dengan baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast