Richard Riot Jaem
Richard Riot Jaem

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) berharap agar Sabah dan Sarawak diberi satu pertiga atau 35 peratus kerusi Parlimen menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Menurut beliau, tuntutan itu adalah selaras dengan maksud perenggan 19 (2) Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.

Richard berkata, laporan tersebut menyatakan, tiada mana-mana wilayah pun yang boleh mempunyai lebih daripada dua pertiga jumlah kerusi di Parlimen.

“Ini bermakna wilayah Sabah dan Sarawak hendaklah diperuntukkan sepertiga atau 35 peratus kerusi-kerusi Parlimen dan bukan hanya 25 peratus seperti yang ada sekarang,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2024 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menambah, perenggan 165 dan 199 (g) Laporan Suruhanjaya Cobbold juga menyatakan bahawa perwakilan wilayah-wilayah Borneo bukan sahaja mengambil kira jumlah penduduk malah saiz dan potensinya.

“Ini bukan permintaan tetapi ini terkandung dalam IGC dan Laporan Suruhanjaya Cobbold, ini harapan saya,” jelasnya.

Pada 17 September lalu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, jumlah kawasan Parlimen di wilayah itu dan Sabah sepatutnya ditambah bagi memastikan wujud keseimbangan dengan Semenanjung.

Ketika ini, Sabah dan Sarawak masing-masing mempunyai 25 dan 31 kerusi Parlimen. – MalaysiaGazette