SEPANG – Para pengkursus Tabung Haji (TH) diminta memberi penjelasan secara konsisten mengenai konsep Istito’ah atau syarat mampu untuk menunaikan ibadat haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ini kerana dari segi syarak bakal jemaah haji perlu memenuhi lima syarat kemampuan iaitu kesihatan yang baik, ada kenderaan pergi dan balik, aman dalam perjalanan, kewangan mencukupi dan kebenaran pihak Arab Saudi.
Menurutnya, Islam agama yang mudah dan Allah tidak mewajibkan sesuatu ibadat di luar kemampuan manusia.
“Ada dalam kalangan bakal haji sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat peluang pergi haji sedangkan syarat wajib itu gugur sekiranya mereka tidak memenuhi lima syarat kemampuan,” katanya ketika berucap di Majlis Penutup Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-40.
Oleh itu beliau berharap para pengkursus haji dapat menyampai dan membimbing bakal-bakal haji dengan jelas.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutup Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-40.
Sebanyak lima kertas kerja telah dibentangkan sepanjang Muzakarah Haji Ke-40 berlangsung sejak Isnin lalu.
Antara perkara yang dibincangkan adalah pelaksanaan Mabit di Mina bagi jemaah haji yang sebelum ini berdepan isu kesesakan penempatan dan faktor-faktor luar kawalan menurut pandangan syarak yang melibatkan jemaah Malaysia.
Sehubungan itu, Mohd Na’im berharap resolusi yang telah dikeluarkan oleh Muzakarah Haji kali ini akan menjadi panduan kepada pihak pengurusan TH bagi merangka strategi operasi haji akan datang dengan baik dan efektif.
“Segala pandangan yang dikemukakan oleh saudara dan saudari dalam muzakarah ini bukan sahaja penting kepada jemaah haji Malaysia tetapi juga kepada seluruh umat Islam Malaysia dalam memahami hikmah dan falsafah ibadat haji serta hukum- hakamnya.
“Kita tidak mahu berlaku kekeliruan sebab itu diadakan muzakarah ini yang dicapai,” jelasnya.
Muzakarah Haji ke-40 yang bertemakan ‘Ibadah Yang Sahih Asas Kemabruran Haji’ tahun ini membincangkan hal ehwal berkaitan bimbingan serta hukum-hakam ibadat haji yang timbul semasa musim haji 1444H lalu dan mencari penyelesaian.
Dalam majlis yang sama, Lembaga Tabung Haji meneruskan usaha digitalisasinya dengan melancarkan aplikasi e-bimbingan Haji.
Aplikasi itu diwujudkan demi memudahkan urusan pembelajaran bakal jemaah haji termasuklah petugas haji serta Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA).
Mohd Na’im berkata, sudah tiba masanya bakal-bakal haji dilengkapkan dengan ilmu kemahiran teknologi bagi mempermudahkan persiapan dan urusan.
“Kandungan pembelajaran bagi e-Bimbingan Haji yang disampaikan dalam bentuk video, infografik, e-Buku, persembahan slaid, audio dan kuiz akan memudahkan dan memberi pemahaman yang lebih berkesan buat bakal-bakal jemaah haji, insya Allah.
“Pembangunan aplikasi ini adalah antara inisiatif digitalisasi TH untuk memastikan agar bakal jemaah haji dapat mengakses informasi mengenai haji dengan lebih mudah, seiring dengan keperluan zaman teknologi kini yang telah menjadi sebahagian daripada norma baharu kehidupan hari ini,” tambah beliau.- MalaysiaGazette