Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf hadir pada sidang media mengenai jenayah penipuan atas talian di Ibu pejabat JSJK, Menara KPJ, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 26 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap bekas Pengurus Bank Goldmans Sachs, Roger Ng berjaya membantu polis mengenal pasti seorang lagi individu di luar negara yang berkait dengan aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Nilai aset yang dimiliki individu terbaharu itu dianggarkan membabitkan nilai jutaan ringgit yang sedang disiasat oleh polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penemuan positif itu rentetan siasatan  terhadap Roger dalam usaha melakukan pemulihan aset 1MDB  dalam dan luar negara.

“Bagaimanapun, identiti individu lain di luar negara itu tidak boleh didedahkan oleh kami buat masa ini kerana dikhuatiri akan menganggu siasatan yang sedang dijalankan.

“Malah usaha menjejaki untuk mengembalikan aset-aset berkenaan tidak semestinya melibatkan Roger sahaja sebaliknya terdapat seorang lagi individu lain yang berjaya dikenal pasti mempunyai kaitan dengan pemilikan dana 1MDB itu.

“Jadi, ini yang sedang dijejaki oleh pihak kita (polis) sekarang dalam perkembangan terbaharu kes 1MDB ini dan aset ini tidak semestinya berada di Malaysia dan boleh jadi berada di luar negara,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini hari ini.

Mengulas lanjut dalam kes berkenaan, Ramli Mohamed menambah bahawa siasatan terhadap Roger Ng masih diteruskan oleh polis pada masa ini dan pihaknya memberikan tumpuan utama dalam usaha membawa pulang aset tersebut.

“Aset-aset ini berada di pelbagai lokasi jadi ini yang akan jadi tumpuan dalam siasatan kami (JSJK) dan Roger masih lagi berada dalam tahanan pihak polis ketika ini,” tegasnya lagi.

Terdahulu pada 10 Oktober lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan PDRM terhadap Roger akan menjurus ke arah modus operandi berkaitan penjualan bon dipercayai dana 1MDB dan aset-aset mewah yang diperolehi suspek berkenaan.

“Polis juga percaya dan yakin bahawa proses soal siasat terhadap lelaki berusia 51 tahun itu akan membawa kepada maklumat-maklumat berkaitan penglibatan suspek lain termasuk suspek utama Low Taek Jho atau Jho Low.

“PDRM juga melihat apa modus operasi digunakan, macam mana bon-bon dijual serta berapa komisen yang diperoleh yang disyaki berkaitan dengan aset hasil 1MDB,” ujarnya.

Pada 19 Disember 2018, Roger mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion dengan menggugurkan fakta material dan membuat kenyataan palsu.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, Jalan Sultan Ismail di sini antara 19 Mac 2012 hingga 11 November 2013.

Roger yang dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun di Amerika Syarikat telah dibawa ke Malaysia sebelum ditahan pada 9 Oktober lalu serta siasatan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan. – MalaysiaGazette