Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan dilaporkan telah mengarah semua institusi di bawahnya untuk mengadakan Minggu Solidariti Palestin dari 29 Oktober hingga 3 November termasuk melancarkan tabung untuk membantu rakyat Palestin.

Sinchew Daily melaporkan, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian telah mengeluarkan surat pekeliling bertarikh 21 Oktober kepada pengarah-pengarah pendidikan negeri mengenai hal itu.

Selari dengan surat itu, sekolah harian, sekolah teknik, kolej matrikulasi dan institusi perguruan akan mengadakan Minggu Solidariti Palestin dan menyokong nilai universal, keamanan dan kemanusiaan.

Menurut surat itu, pihak sekolah boleh melancarkan program tersebut semasa perhimpunan mingguan untuk mengutip derma untuk rakyat Palestin.

Video dan lagu bersesuaian boleh dipasang manakala pelajar Muslim boleh berdoa untuk Palestin.

“Selain itu, pihak sekolah boleh mengadakan  aktiviti kokurikulum yang berkaitan dengan isu kemanusiaan Palestin seperti pertandingan menghasilkan lagu, sajak dan poster.”

Bagaimanapun, program tidak harus menyentuh elemen serangan dan ekstrem dan derma yang dijalankan juga adalah atas dasar sukarela. – MalaysiaGazette