PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menaikkan kadar Elaun Sara Hidup (ESH) kepada pelajar tajaannya di dalam dan luar negara, bermula 2024.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kenaikan ESH itu melibatkan pelajar dari peringkat sijil hingga pasca siswazah.
“Kenaikan 15 peratus kadar ESH pelajar sedia ada dan baharu luar negara peringkat Sarjana dan PhD di bawah Program MyBrainScience,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Program MyBrain 2.0 dan Penyampaian Surat Tawaran Program Penajaan KPT 2023 di Dewan Za’ba, Bangunan KPT, di sini.
Jelasnya, bagi pelajar sedia ada dan baharu yang menerima biasiswa dan dermasiswa dalam negara, kenaikan kadar elaun ESH berjumlah RM100 sebulan.
“Antaranya Biasiswa Atlet Cemerlang IPT, Biasiswa Pelajar Cemerlang Politeknik, Biasiswa Tokoh Siswa, Dermasiswa B40 TVET dan Program MyBrain 2.0).
“Kenaikan RM100 sebulan ESH/Elaun Wang Saku juga diperluaskan kepada pelajar-pelajar B40 (Bantuan Kewangan Asasi dan Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti) dan OKU (Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya dan Program Pendidikan Khas),” katanya.
Selain itu, kadar ESH yang dinikmati pelajar dalam kalangan pegawai awam dalam perkhidmatan sama ada sedia ada dan baharu dalam dan luar negara dikekalkan.
“Kenaikan kadar ESH ini akan berkuat kuasa mulai 2024,” katanya.
Katanya lagi, pertambahan bayaran elaun ESH itu membabitkan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM30.78 juta.
“Seramai 24,729 pelajar tajaan KPT dijangka menerima manfaat ini.
“Kenaikan kadar ESH ini merupakan salah satu usaha kerajaan bagi menangani kenaikan kos sara hidup yang tinggi,” katanya.
Pada 2023, seramai 17,015 pelajar telah diberikan penajaan sama ada dalam bentuk biasiswa, dermasiswa dan bantuan kewangan kepada pelbagai kumpulan sasar.
Penajaan bagi 2023 adalah melibatkan sebanyak RM156 juta.
Manakala pada 2024, sebanyak RM206 juta telah diperuntukkan sepertimana pembentangan Belanjawan 2024. – MalaysiaGazette