KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) malam ini akan memutuskan status Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.
Menurut ahlinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan, ia berdasarkan kepada beberapa pandangan yang diterima pihak parti berhubung dakwaan bahawa Iskandar Dzulkarnain menerima ugutan.
“Mesyuarat ini akan menghasilkan keputusan kepada reaksi pengumuman Iskandar. Saya jangka akan ada keputusan malam ini, ada beberapa pandangan yang sudah disuarakan MPT tapi malam ini akan dimuktamadkan.
“Malam ini kita akan bincang situasi yang berlaku dan apa keputusan kita terhadap pengumuman dia. Elok kita tunggu keputusan malam ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di Dewan Rakyat hari ini.
Wan Saiful berkata demikian merujuk kepada kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu yang berkata nasib Iskandar Dzulkarnain akan ditentukan dalam mesyuarat MPT Bersatu.
Muhyiddin berkata mesyuarat itu akan membincangkan tindakan disiplin terhadap Iskandar Dzulkarnain susulan kenyataannya yang melanggar peraturan dan disiplin parti.
Dalam pada itu, Wan Saiful menambah, Iskandar Dzulkarnain ada berhubung dengan beberapa ahli MPT mengenai apa yang berlaku ke atas dirinya sebelum ini.
“Saya tidak pasti ada hubungi Muhyiddin atau tidak tapi sebelum semua ini berlaku ada beberapa perbincangan mengenai tekanan yang beliau hadapi.
“Sebelum dia buat pengumuman kita sudah tahu mengenai tekanan yang dihadapi beliau,” katanya lagi.
Iskandar Dzulkarnain pada pertengahan Oktober mengumumkan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Ketua Pembangkang dalam satu kenyataan mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut supaya menyokong kerajaan dan jika enggan berbuat demikian, akan didakwa atas kesalahan rasuah. – MalaysiaGazette