KUALA LUMPUR – Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) menimbulkan rasa terkejut dalam kalangan ahli Parlimen hari ini apabila mengelarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘gila’.
Beliau yang berbahas dalam Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2023 berkata, Anwar seorang pemimpin yang ‘gila bekerja’ bagi menjawab pelbagai tuduhan liar daripada pihak luar.
“Bila ada tuduhan-tuduhan yang mengatakan bahawa Perdana Menteri kita tidak buat apa-apa saya nak nafikan dengan sekeras-kerasnya dan saya nak nyatakan di dewan yang mulia ini di mana Perdana Menteri kita ini ‘gila’.
“Dia (PM) gila buat kerja, gila beruasaha dan gila kuat bekerja malah tidak bazirkan masa dalam lawatan ini tidak ada masa senggang, tidak ada masa rehat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Kenyataan Mohd Sany itu menarik perhatian ahli-ahli Parlimen sehingga Dewan Rakyat senyap seketika.
Dalam pada itu, Mohd Sany berkata, Anwar sentiasa memikirkan persoalan berkaitan rakyat malah turut membawa isu penindasan rakyat Palestin di Gaza ke beberapa negara bagi menyatakan pendirian Putrajaya terhadap isu global tersebut.
“Perdana Menteri kita ini sentiasa memikirkan persoalan berkaitan dengan rakyat Malaysia dan soal Palestin. Malah memikirkan bagaimana nak tarik pelabur-pelabur untuk datang ke negara ini, inilah PM yang rakyat Malaysia sekarang dan sepatutnya rasa bangga mempunyai seorang PM yang kuat dan rajin bekerja untuk memastikan suatu hari nanti Malaysia akan di satu kemucak dan akan digelar sebagai Harimau Asia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette