Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Kerajaan atau Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus memberikan pencerahan mengenai pihak mana yang membuat ugutan terhadap Malaysia, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar).

Syed Saddiq berkata, langkah itu perlu kerana pendirian yang diketengahkan Anwar adalah pendirian negara melibatkan seluruh rakyat di negara ini.

“Saya berasa sebagai ahli Parlimen tidak kira kerajaan atau pun pembangkang, kita akan mendokong Perdana Menteri dalam situasi ini khususnya dalam mempertahankan bumi Palestin yang tertindas, penderaan, seksaan, pembunuhan dan jenayah yang berlaku berskala besar.

“Jika ada apa-apa ugutan ke atas PM kita perlu bersama mempertahankan dan saya berharap dalam bab ini ada pencerahan lanjut contohnya apa jenis ugutan dan siapa yang mengugut,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut menggesa agar kerajaan pantas mengambil tindakan tertentu terhadap mana-mana pihak yang cuba untuk mengganggu kedaulatan negara.

Presidan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu turut berkata, ia jelas satu perbuatan serius dan perlu diambil tindakan segera.

“Apa tindakan yang perlu diambil serta merta kerana ini adalah serius dalam bab hubungan antarabangsa ini ugutan yang dikenakan keatas PM itu sama sahaja ugutan yang dikenakan terhadap negara Malaysia kerana di persada dunia, pendirian PM adalah pendirian negara.

“Sebab itu walaupun saya berada di kedudukan pembangkang saya akan mendokong dna mempertahankan perkara ini khususnya ia melambangkan identiti dan kedudukan negara kita,” katanya lagi.

Awal hari ini, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) menggesa kerajaan mendedahkan negara yang melakukan ugutan serta menekan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin.

Jelasnya, pihaknya tidak sanggup melihat Anwar ditekan dan diugut seperti itu, lantas menyarankan nota bantahan dihantar kepada kedutaan negara terbabit yang berada di negara ini.

“Apabila kita dengar Perdana Menteri menyatakan bahawa beliau menerima ugutan, ancaman, tekanan dan sebagainya, saya fikir menteri kena dedahkan negara mana yang berani menekan dan mengugut Perdana Menteri yang kita sayang ini.

“Kita tak sanggup melihat Perdana Menteri kita ditekan dan diugut seperti ini,” katanya di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast