Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah.

KUALA LUMPUR – MIC komited memastikan hampir 800 pengundi dalam kalangan masyarakat India di Parlimen Kemaman menyokong calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2 Disember ini.

Menurut Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah, walaupun angka itu kecil namun undi itu penting kepada BN yang menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata beliau, jentera MIC akan bekerja keras memastikan kesemua pengundi keluar mengundi pada PRK ini termasuklah yang tinggal di luar kawasan.

“Kita memang komited malah Presiden, Tan Sri SA Vigneswaran awal-awal lagi sudah umum jentera MIC akan turun bantu calon Kemaman. Seperti yang kita buat di Pelangai ketika PRK, mana-mana pengundi tinggal luar kawasan kita akan hubungi mereka dan minta balik mengundi.

“Walaupun jumlah pengundi kalangan masyarakat India tidak ramai, tetapi kita akan pastikan mereka menyokong dan mengundi calon BN. Presiden akan tentukan jumlah jentera yang akan diturunkan nanti bagi terus berkempen menyokong calon BN,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Kemaman pada 2 Dis, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 dan 28 November.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebelum ini, Vigneswaran sudah memberi jaminan akan membantu kempen calon kerajaan perpaduan sebagai komitmen parti itu kepada Anwar.

“Walaupun pengundi India tidak ramai (di Parlimen Kemaman), kita akan bantu (calon) Kerajaan Perpaduan,” ujarnya. -MalaysiaGazette