KUALA LUMPUR – TM One telah dilantik sebagai rakan strategik infrastruktur digital tertumpu pilihan untuk Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC).
Melalui usahasama ini, SDEC dan TM One akan bekerjasama untuk mengenal pasti dan melaksanakan penyelesaian digital yang akan merealisasikan aspirasi yang dibentangkan dalam Strategi Ekonomi Digital Sarawak dan Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS)
2030, memacu pertumbuhan ekonomi digital, masyarakat digital dan kerajaan digital di Sarawak.
Inisiatif bersama ini bertujuan untuk meningkatkan akses dan penggunaan perkhidmatan digital di Sarawak, merapatkan jurang digital dan memperkasa keterangkuman digital yang lebih meluas dalam kalangan semua rakyat Sarawak.
Dengan memanfaatkan perkhidmatan rangkaian terurusnya, TM One akan memperkasakan projek Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) untuk masyarakat luar bandar.
Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim berkata, TM One berbesar hati untuk bekerjasama dengan SDEC dan berkhidmat sebagai rakan strategiknya untuk memperkasakan aspirasi digital Sarawak.
Sebagai wilayah terbesar dengan populasi yang pelbagai di Malaysia, peluang dan cabaran untuk mengubah pelbagai populasi secara digital adalah benar-benar unik. Kami yakin dalam memenuhi keperluan rantau ini bukan sahaja melalui penyelesaian kami, tetapi juga dengan rakan teknologi tempatan dan antarabangsa yang tersohor untuk menyampaikan penyelesaian termaju kepada pelbagai sektor.
“Kami berharap dapat bekerjasama dengan SDEC dalam mencipta inovasi dan peluang pertumbuhan bersama yang akan menggerakkan masyarakat, perniagaan dan kerajaan digital, mendorong Sarawak ke arah fasa kemajuan digital dan pembangunan ekonomi yang seterusnya,” kongsi beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Ir. Ts. Sudarnoto Osman berkata, kerjasama ini membolehkan pihak-pihak terlibat memanfaatkan kemahiran masing-masing dan bekerjasama untuk membuka peluang baharu dan berpotensi untuk manfaat masyarakat di sini, khususnya infrastruktur negeri, dan seterusnya meningkatkan akses kepada perkhidmatan dan maklumat digital serta meningkatkan pengalaman dalam talian dan menambah baik peluang rakyat Sarawak dalam ekonomi digital.
Dengan ekonomi digital Sarawak dijangka menyumbang RM56.4 bilion kepada GDP Sarawak menjelang 2030, TM One dan SDEC juga menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran dan membolehkan transformasi digital syarikat dan perusahaan swasta melalui teknologi IR 4.0.
Ini termasuk tinjauan dan akses kepada himpunan penyelesaian rangkaian terbaharu, pusat data dan perkhidmatan awan, perkhidmatan pintar, 5G, keselamatan siber dan penyelesaian digital lain TM One, yang akan membolehkan kecekapan operasi dan inovasi yang lebih baik dalam kalangan industri.
TM One komited untuk mengembangkan ekosistem perniagaan digital negeri Sarawak dan akan memberi kepakaran dan perkhidmatannya bagi menyokong peranan SDEC dalam enam bidang pertumbuhan digital, iaitu: perundingan, inovasi dan keusahawanan, infrastruktur digital, perkhidmatan teknologi, projek ekonomi digital, dan penyelidikan dan pembangunan produk. – MalaysiaGazette