Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. Foto MUHD NA’IM, 21 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tangkapan ke atas dua lelaki bagi membantu siasatan  berhubung hantaran di media sosial yang berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kedua dua suspek warga tempatan itu ditangkap secara berasingan dalam dua serbuan di Selangor dan Pulau Pinang.

“Tangkapan pertama disyaki pemilik dan pengendali akaun Facebook Nekad Hikers Ventures berumur dalam lingkungan 51 tahun ditangkap di kawasan Bandar Baru Bangi pada 27 Oktober lalu.

“ Manakala tangkapan kedua juga dipercayai pemilik dan pengendali akaun Facebook JGAD ZRUU yang berusia 27 tahun telah ditahan Jumaat di kawasan Bukit Mertajam Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan tengah hari ini.

Kedua-dua suspek sedang disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama.

Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian

“Kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar  tidak  membuat sebarang spekulasi yang boleh  mengganggu  siasatan polis

“Orang ramai juga diingatkan agar menjadi pengguna yang bijak, cakna dan prihatin terhadap isu-isu sentitif terutama melibatkan kegentaran awam dan keselamatan negara,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette