Datuk Rospiagos Taha bersama para rakan strategik, rakan swasta dan rakan media di Malam Apresiasi Jabatan Pengangkutan Jalan di Bandar Baru Bangi malam tadi.Ihsan Unit PRO JPJ

BANGI – Warga kerja Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disarankan sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran teknologi terkini untuk menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Ketua Pengarahnya Datuk Rospiagos Taha berkata, cabaran dihadapi oleh JPJ semakin seakin mencabar dari semasa ke semasa manakala harapan dan kehendak pelanggan semakin hari semakin meningkat tanpa batasan.

Katanya, pelanggan JPJ mengharapkan perkhidmatan yang berprestasi tinggi dan berkualiti daripadanya sedangkan sumber kewangan, kepakaran teknologi dan kemahiran sangat terhad.

“Namun, ini bukan alasan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan kita (rakyat) dan jangan menjadikan alasan itu sebagai penghalang kepada kita untuk maju seiring dengan perkembangan teknologi dalam dunia siber dan digital ini.

“Kita juga berdepan satu lagi cabaran iaitu persepsi masyarakat terhadap kita, dulu semua beranggapan JPJ berada pada tahap baik, namun ‘good no longer enough’ yang mana masyarakat akan mengharapkan perkhidmatan cemerlang.

“Tetapi ingat, pelanggan dan pemegang taruh kita tidak akan berpuas hati dengan tahap perkhidmatan cemerlang JPJ untuk dua tahun akan datang sebaliknya mereka akan mengharapkan kesempurnaan dalam penyampaian perkhidmatan kita,” katanya dalam Majlis Apresiasi Jabatan Pengangkutan Jalan 2023 di Bandar Baru Bangi malam tadi.

Tambah beliau, JPJ memerlukan sokongan semua pihak iaitu media dan rakan strategiknya agar bergerak bersama ke arah kecemerlangan.

Datuk Rospiagos Taha

Selain itu beliau juga menegaskan, warga JPJ tidak boleh lari daripada soal integriti dalam perkhidmatan dan masih mempunyai banyak ruang dan peluang yang boleh digapai dan dimanfaatkan sebaik-baiknya agar menjadi sebuah agensi yang disegani dalam segala aspek.

“Justeru, kita juga tidak seharusnya bergantung kepada penambahan sumber manusia semata-mata sebaliknya perlu mencari ruang menambah kualiti perkhidmatan menggunakan teknologi terkini.

“Kalau kita lihat pada pihak lain mereka sudah melangkah ke hadapan dengan menguranglan sumber tenaga manusia dan meningkatkan kelengkapan kemudahan teknologi dan contoh terbaik saya boleh berikan adalah kita di JPJ sendiri lebih berbangga dengan pelekat cukai jalan kenderaan tetapi sekarang sudah bergerak ke arah pendigitalan (cukai digital).

“Bagaimanapun, kita juga ada cabaran mengubah suatu keadaan lama kepada yang baharu kerana walaupun generasi Y sekarang sudah biasa dengan penggunaan gajet atau digital, masih ada pelanggan generasi X dan terdahulu antaranya petani yang berpendapatan rendah dan lain lain golongan yang perlu dibawa menerusi konsep inklusif dan kebersamaan ke arah pendigitalan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rospiagos turut mahu kerjasama media dalam memahami dan menyusuri isu isu semasa membabitkan rakyat.

“Kalau lihat di luar sana banyak pihak seronok atau setuju dengan tindakan JPJ yang tegas bertindak kepada kumpulan yang melanggar peraturan jalan raya tapi mereka selalunya senyap dan tidak mengeluarkan sebarang komen atau pandangan secara terbuka sedangkan mereka bersetuju.

“Kumpulan ini yang kita perlu bersama media untuk bawa suara mereka ke hadapan dan mengimbangi antara keseronokan pihak majoriti dengan kumpulan minoriti yang terkesan supaya mesej mereka dibawa kepada rakyat di bawah sana secara lebih seimbang tanpa bersifat berat sebelah kepada satu pihak sahaja,” tegas beliau lagi.-MalaysiaGazette