KUALA LUMPUR – Seramai 106 pendatang asing tanpa izin berjaya ditangkap dalam Op Taring Nyah II iaitu operasi mengejut oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Pasar Borong Kuala Lumpur hari ini.

Komander Briged Tengah PGA Zulkifli Jonit berkata, operasi bermula pada 4.30 pagi tadi dengan dibantu oleh pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Putrajaya.

“Kesemua 106 PATI yang ditahan itu terdiri daripada 19 lelaki Bangladesh, 27 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia, 44 lelaki dan dua wanita Myanmar dan 13 orang warga India dan berusia lingkungan antara 20-an hingga 40-an.

Sebahagian daripada 106 PATI yang ditahan PGA, FRU dan Imigresen dalam Op Taring Nyah II di Pasar Borong Kuala Lumpur awal pagi hari ini. ihsan foto PGA Cheras

“Hasil pemeriksaan ke atas mereka mendapati kesemua PATI itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan perjalanan,” katanya dalam kenyataan kejayaan operasi itu malam ini.

Menurut beliau lagi, semakan lanjut mendapati kesemua warga asing itu bekerja di pasar borong tersebut.

Katanya, dalam operasi tiada sebarang rampasan barangan peribadi dilakukan.

“Semasa serbuan dibuat kesemua PATI telah memberi kerjasama yang baik  dan tidak berlaku sebarang pergelutan dan kecederaan ketika penguatkuasa melaksanakan tangkapan dan pemeriksaan ke atas mereka.

“Kesemua mereka kini telah diserahkan kepada Imigresen untuk tindakan siasatan lanjut.

Antara PATI yang ditahan dalam Op Taring Nyah II oleh PGA bersama FRU dan JIM di Pasar Borong Kuala Lumpur awal pagi tadi. ihsan PGA Cheras

 

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 6(3),Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(4) dan Seksyen 15(1)(c)  di bawah Akta Imigresen 1959 serta Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963,” tegasnya lagi.

Zulkifli juga memaklumkan pihaknya akan meneruskan operasi Taring Nyah II pada masa akan datang.

Beliau turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berhubung kegiatan mencurigakan atau kehadiran PATI di kawasan masing-masing kepada polis demi menjaga ketenteraman dan keamanan negara. – MalaysiaGazette