Ahli Parlimen Selayang, William Leong bercakap kepada pemberita pada sidang media di Puteri Central Park, Bandar Tasik Puteri, Rawang, hari ini.

RAWANG – Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan digesa mengkaji semula cadangan pembinaan loji pembakaran sampah (insinerator) di Batu Arang di sini yang didakwa jaraknya kira-kira 600 meter dari kediaman penduduk.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, walaupun ia dikatakan menggunakan teknologi sisa buangan kepada tenaga namun proses pembakaran sisa-sisa pepejal masih menghasilkan gas toksin.

“Saya meminta kerajaan mengkaji semula penggunaan insinerator sisa kepada tenaga kerana ia bukan teknologi sisa buangan kepada tenaga boleh diperbaharui.

“Apabila kita bakar sesuatu, ia tidak akan terhapus, ia bertukar kepada gas, menjadi bahan kimia dipanggil dioxin furans, merkuri logam berat dan sebagainya.

“Bila kita bakar sisa, memang ada karbon dioksida dan jumlah gas ini adalah dua kali ganda berbanding dengan fosil api dan boleh menjejaskan program neutral karbon neutral negara.

“Bahan-bahan bahaya ini membawa penyakit mandul, ketidaksuburan, kanser, bermacam penyakit yang sudah dilaporkan walaupun insinerator dengan teknologi lama,” katanya pada sidang media di Puteri Central Park, Bandar Tasik Puteri hari ini.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong bersama penduduk Rawang selepas Fun Run Bantah Insinerator Batu Arang di Puteri Central Park, Bandar Tasik Puteri, Rawang, hari ini.

Terdahulu beliau melepaskan acara Fun Run Bantahan Insinerator anjuran Jaringan Rawang Bantah Insinerator (JRTI) melibatkan lebih 600 penduduk dari Bandar Tasik Puteri, Kota Puteri, Batu Arang dan Country Home.

William juga mempersoalkan keperluan untuk membina insinerator di negara ini sedangkan negara maju seperti Eropah dan Amerika Syarikat tidak lagi menggunakan teknologi ini untuk melupuskan sisa pepejal.

“Baru-baru ini di Eropah mereka sudah mengeluarkan satu arahan di mana mereka tidak lagi menggalakkan waste to energy insinerator.

“Ini kerana antara bahan kimia juga karbon dioksida yang akan menjejaskan sasaran untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050.

“Mereka sudah tukar kepada program zero waste, di Denmark mereka sudah buat keputusan untuk kurangkan waste to energy dengan kapasiti berjumlah 30 peratus.

“Mengapa kita di Malaysia kena bertindak sebaliknya, mengapa kita nak buat eksperimen lagi sedangkan ia telah ditunjukkan di Eropah bahawa ia telah gagal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette