KUALA LUMPUR – Tahap celik kewangan digital di negara ini amat membimbangkanian apabila satu daripada tiga rakyat Malaysia berkongsi kata laluan perbankan mereka.
Manakala lebih 70% rakyat Malaysia tidak mengendahkan faktor keselamatan ketika berurusan di platform kewangan digital.
Perkongsian ini sudah tentu akan mendedahkan rakyat kepada risiko penipuan kewangan, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Adnan Zaylani Mohamad Zahid.
“Oleh itu, sejak tahun lepas, inisiatif untuk meningkatkan celik kewangan digital telah dilancarkan oleh FEN dan industri kewangan. Ini termasuk program jelajah FEN ke luar bandar dan institusi pengajian tinggi yang memberi tumpuan kepada pengukuhan keselamatan siber pengguna kewangan.
“Malah, program literasi kewangan FEN PROAKTIF yang dilancarkan semalam untuk belia di IPT turut mengintegrasikan satu modul celik kewangan digital,” katanya pada Majlis Penutup Karnival Celik Kewangan Johor, hari ini.
Menurutnya, dengan persekitaran kewangan dan ekonomi yang sangat dinamik, perjalanan memperkasakan pendidikan kewangan tidak ada titik noktahnya.
FEN sentiasa bersedia untuk memperluas dan melipatganda usaha melalui pelbagai pendekatan termasuk meningkatkan inisiatif celik kewangan digital ke segenap lapisan masyarakat, membina kapasiti tenaga pengajar untuk menyampaikan ilmu pendidikan kewangan dengan berkesan, memperhebat usaha menyantuni belia agar mereka bersedia uruskan kewangan apabila menyertai alam pekerjaan.
Selain itu, memperkasa usahawan mikro, kecil dan sederhana termasuk usahawan wanita dengan pengetahuan dan kemahiran kewangan yang akan memberi impak peningkatan taraf hidup, menilai dan mengukur inisiatif pendidikan kewangan untuk memastikan keberkesanan inisiatif yang dijalankan. – MalaysiaGazette