NIBONG TEBAL – Seramai 13 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Masyarakat Kampung Tanah Kebun, Sungai Acheh di sini, selepas kediaman mereka rosak dibadai ribut semalam.
Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Khairulnizam Hashim berkata, hujan lebat berterusan sekitar SPS bermula jam 2 petang telah mengakibatkan paras sungai di beberapa kawasan naik hingga melimpah ke jalan raya.
Jelas beliau, impak limpahan sungai turut mengakibatkan tujuh kampung dilanda banjir kilat.
“Antara kampung tersebut adalah Kampung Haji Omar, Masjid Putih di Taman Ilmu, Kampung Masjid, Kampung Sethu, Kampung Sungai Kechil, Kampung Changkat dan Pondok Sungai Bakap.
“Bagaimanapun, pada jam 6 petang berlaku ribut yang menjejaskan empat buah rumah serta Sekolah Kebangsaan Sungai Setar di sini.
“Air mula surut sekitar jam 8.30 malam dan tiada PPS dibuka membabitkan mangsa banjir manakala 13 mangsa ribut daripada dua keluarga ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Kampung Tanah Kebun,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Tambah beliau, operasi membantu dan memindahkan mangsa terlibat dilakukan dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Rashidi Zinol, Polis, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyrakat, Tenaga Nasional Berhad serta Majlis Bandaraya Seberang Perai.
“Kerjasama agensi berkaitan termasuk dari segi menyediakan bantuan makanan, khemah serta keperluan lain bagi memastikan mangsa-mangsa mempunyai tempat tinggal sementara yang selesa,” kata beliau. – MalaysiaGazette