Bumbung SK Sungai Setar di Nibong Tebal rosak akibat diterbang ribut.

NIBONG TEBAL – Bumbung enam buah sekolah dan blok pentabdiran Sekolah Kebangsaan Sungai Setar di Sungai Acheh di sini, mengalami kerosakan akibat ribut semalam.

Timbalan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan berkata, pihak pengurusan sekolah memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang.

Jelas beliau, sebahagian bumbung kelas serta blok pentadbiran itu dibawa angin hingga ke blok pra sekolah serta kawasan perkebunan yang terletak di bahagian belakang sekolah berkenaan.

Kos membaiki kerosakan itu dianggarkan RM150,000.

“Tiada sebarang kecederaan berlaku susulan sekolah tidak beroperasi semalam dan hari ini juga tiada sesi pembelajaran berikutan sekolah cuti peristiwa sukan tahunan yang berlangsung Sabtu lalu.

“Bagaimanapun, susulan kerosakan akibat ribut, enam kelas yang terlibat ditutup dan bilik khas termasuk makmal komputer dijadikan kelas pembelajaran buat sementara waktu,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Tambah Wan Sajiri, kontraktor telah membersihkan bumbung dan kayu kayu yang diterbangkan ribut di kawasan sekolah hari ini.

“Selain itu, pihak jurutera juga telah datang bagi melakukan penilaian dan anggaran kos pembaikan bumbung itu berjumlah RM150,000.

Kerja-kerja membersihkan bumbung dan kayu yang diterbangkan dilakukan pihak kontraktor.

“Kita telah panjangkan laporan itu kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast