Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) bertindak mengunci mulut kepada pertanyaan wakil media sama ada beliau turut diganggu pihak ketiga.

Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob ketika diajukan soalan, sama ada beliau turut diganggu pihak ketiga, beliau hanya berkata; ‘Tiada komen’.

Fathul berkata demikian kepada MalaysiaGazette sambil memberikan emoji mulut dikunci.

Beliau dilihat bersama-sama beberapa Ahli Parlimen PN dalam sebuah gambar di Facebook semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diadakan pada malam Khamis lalu.

Turut kelihatan adalah Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Suhaili selepas itu mengeluarkan kenyataan beliau menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Suhaili turut menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mengambil langkah sama dengan menyatakan sokongan kepada Anwar dan bakal berdepan tindakan disiplin.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kesemua permasalahan rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi serta gangguan bekalan air dan bekalan elektrik yang berterusan.

Dalam kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada 13 Oktober lalu, beliau mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut seorang pegawai tertinggi sebuah agensi berkaitan kerajaan.

Beliau berkata, Iskandar Dzulkarnain dibawa bertemu pegawai terbabit di sebuah hotel di Damansara pada 1 Oktober lalu.

Ujarnya, ahli Parlimen itu diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah jika enggan menandatangani kenyataan media yang telah disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan.

“Sebelum itu, pada 26 September 2023, Ahli Parlimen Kuala Kangsar juga telah didatangi seorang taikun perniagaan yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri di sebuah lokasi sekitar Damansara.

“Beliau telah ditekan dan didesak untuk menyokong Perdana Menteri serta dijanjikan habuan dan kedudukan dalam beberapa syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.

Awal hari ini, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar menjangkakan lebih ramai ahli Parlimen pembangkang akan menyokong  Anwar jika pemimpin PN tidak berunding dengan kerajaan bagi mendapat peruntukan sama rata untuk semua wakil rakyat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast