KUALA LUMPUR – Anugerah Akademik Negara (ANN) ke 15 mengangkat pelopor program pengawalan penyakit berjangkit di Malaysia, Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman sebagai Tokoh Akademik Negara.
Dr Adeeba adalah ahli sarjana yang terkenal dalam bidang perubatan atas pencapaian dan sumbangan dalam bidang penyelidikan penyakit berjangkit serta advokasi perubatan di Malaysia dan juga di pentas antarabangsa.
Berpengalaman lebih 30 tahun, beliau komited memperjuangkan minat penyelidikan dan kepakarannya untuk menumpukan penggunaan pendekatan pragmatik serta berkesan berdasarkan bukti terhadap pencegahan HIV dan AIDS dalam populasi utama.
“Saya harap anugerah ini akan menjadi suatu inspirasi kepada para akademik yang lain.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kesemua ahli-ahli akademik di UM terutama Fakulti Perubatan di mana saya bertugas selama 26 tahun dan sudah tentu bukan kejayaan saya seorang,” katanya kepada media selepas diangkat sebagai Tokoh Akademik Negara.
Individu yang bertanggungjawab menubuhkan Unit Penyakit Berjangkit di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada tahun 1996 serta Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dalam AIDS (CERiA) di Universiti Malaya ini membawa pulang hadiah wang tunai RM200,000 beserta trofi dan sijil.
Dr Adeeba turut melakar sejarah dilantik menjadi Presiden Asia pertama bagi Persatuan AIDS Antarabangsa pada 2020 dan rakyat Malaysia pertama untuk dilantik sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Global Polisi Dadah.
AAN adalah acara tahunan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan merupakan program kemuncak bagi Sambutan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2023.
Program itu merupakan pengiktirafan tertinggi khusus untuk para ahli akademik sebagai menghargai kecemerlangan dan sumbangan mereka dalam melonjakkan nama Institusi Pendidikan Tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Malah AAN juga adalah merupakan satu daripada inisiatif Kerajaan dalam usaha merangsang pembangunan kesarjanaan dan keintelektualan negara.
Selain Dr Adeeba, lima ahli akademik lain turut diumumkan sebagai penerima pada AAN iaitu Prof Madya Dr Tan Jun Jie dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang menerima Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal untuk Kategori Bidang Sains.
Anugerah Penerbitan Buku pula diterima Prof Dr Shamsul Bahri Abdul Razak dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sementara, Anugerah Pengajaran Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan disandang Prof Madya Dr Adibah Abdul Latif Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Bagi Anugerah Pengajaran Kelompok Sains Gunaan diberi kepada Dr Norliza Mohd Isa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) manakala Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk pula dianugerahkan kepada Ts Dr Mariani Abdul Hamid dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Kesemua mereka menerima wang tunai RM50,000 beserta trofi dan sijil. – MalaysiaGazette
Power