Ribuan Rakyat Malaysia berhimpun bagi menyatakan solidariti terhadap Palestin pada Himpunan 10,000 Solidariti Palestin di Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 28 OKTOBER 2023.

 

MUTAKHIR ini, Palestin menjadi tumpuan dunia akibat penindasan oleh rejim kuffar Israel. Kebangkitan mujahidin telah dibalas dengan pembunuhan masyarakat awam. Israel menyembunyikan kekalahan mereka dengan membunuh warga awam Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak. Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, antara 7-26 Oktober 2023, dianggarkan lebih 15,000 orang tercedera, 7,028 terbunuh termasuk 2,913 orang kanak-kanak. Jumlah sebenar kematian penduduk Palestin akibat serangan besar-besaran Israel di Gaza dianggarkan lebih tinggi berbanding rekod rasmi.

Berikutan hukum rimba Israel terhadap penduduk awam Palestin, komuniti antarabangsa menzahirkan kemarahan masing-masing melalui siri protes dan tunjuk perasaan di seluruh dunia sebagaimana yang berlaku di Amerika Syarikat, Eropah, Timur Tengah, termasuk Malaysia. Walau bagaimanapun, protes yang dilakukan masyarakat dunia memiliki persamaan tema seperti mengutuk keras, menuntut gencatan senjata dan
mengkritik dokongan USA terhadap Israel.

Kami beranggapan bahawa tindakan protes, tunjuk perasaan, kutukan sahaja tidak mencukupi. Ia tidak memberi kesan bahkan tidak menggoyahkan sedikitpun kafir harbi Yahudi. Majlis Keselamatan PBB juga dianggap tidak relevan oleh Yahudi dan tidak
berfungsi pada waktu getir ini. Apalah yang boleh diharapkan kepada orang kafir untuk membela nasib umat Islam. Sudah tentu ia seumpama mengharapkan orang asing, yang tiada hubungan untuk membantu.

Cadangan kempen boikot produk yang mempunyai jaringan dengan Israel dan sekutunya merupakan langkah tepat. Dalam sejarah, kempen boikot produk Israel telah bermula sejak tahun 2005 hasil inisiatif rakyat Palestin menuntut keadilan, kebebasan serta kemerdekaan dari dasar apartheid Israel. Pada tahun 2014, kempen boikot produk- produk Israel mendapat sambutan hangat oleh komuniti antarabangsa. Serangan brutal
Israel terhadap Palestin tahun ini sekali lagi menyemarakkan kempen boikot produk Israel dan syarikat-syarikat yang memiliki jaringan dengan negara haram tersebut.

Bagi umat Islam, tindakan boikot juga salah satu jihad ekonomi berikutan tindakan kejam Israel ke atas Gaza. Kempen-kempen boikot mampu menggetarkan sektor ekonomi Israel dan sekutu seterusnya memberi tekanan bagi menghentikan konflik di Palestin. Di Turkiye, produk syarikat kopi berjenama telah dilarang dari menyediakan makanan dalam tren. Di Indonesia, Syarikat ayam kruk kruk diancam gulung tikar akibat
tiada sambutan. Di Kuwait, mereka meletakkan poster “Adakah kamu pada hari ini telah membunuh rakyat Palestin” di jalan raya bagi menyeru semua orang memboikot produk Israel dan sekutunya. Semangatnya boleh diambil daripada saranan Ibrahim Adham, seorang ulama yang pernah menyeru orang pada zamannya untuk tidak membeli daging yang mahal di pasaran, sebagai satu bentuk tekanan pada penjual untuk merendahkan
harga dan memenuhi maslahah masyarakat awam.

Kita sebagai umat Islam yang memiliki persaudaraan akidah dengan Palestin perlu menggunakan kuasa beli sebagai senjata ampuh dan berkesan dengan cara memboikot produk-produk Israel dan sekutunya. Usaha boikot tersebut mampu menjadi isyarat jelas menentang sekeras-kerasnya tindakan brutal Israel. Gerakan boikot dapat memutuskan rantaian ekonomi serta sumbangan dunia melalui sektor ekonomi kepada
Israel.

Dalam etika pemakanan Islam, membeli produk keluaran Israel dan sekutunya tidak mencapai standard halalan tayyiban, disebabkan hasil ekonominya digunakan untuk membunuh jiwa-jiwa umat Islam. Ia seumpama kita membeli barang daripada pembunuh, yang dengan duitnya itu dibeli pisau untuk membunuh orang lain.

Ingatlah kita sebagai umat Islam di Malaysia, setiap nyawa rakyat Palestin yang
gugur akibat sokongan pembeli kepada ekonomi Israel akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT di akhirat kelak. Selain bersujud dan menadah tangan mendoakan kehancuran Israel, marilah kita bersama-sama mengambil bahagian dalam kempen boikot produk-
produk Israel dan sekutunya.

Pembunuhan secara beramai-ramai oleh regim Israel bukanlah ujian penduduk Palestin semata-mata. Kita selaku umat Islam perlu bersama-sama mengambil bahagian jihad ekonomi dalam kempen ini bagi memastikan tanah Palestin dapat dibebaskan. Ayuh kita menyeru semua ahli keluarga, saudara mara, sahabat handai dan rakan taulan untuk memboikot produk-produk Israel dan sekutunya. Semoga Allah SWT mencatat usaha ini
sebagai amalan kebaikan yang diterima di sisi-Nya, Amin.

 

Muhammad Afifi Abdul Hamid
Universiti Malaya &

 

 

 

Mohd Farhan Md Ariffin
Universiti Kebangsaan Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast