Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan tiada keperluan bagi Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebagai langkah untuk memperkukuhkan nilai ringgit.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ketika ini, kadar inflasi dan pengangguran mencatatkan penurunan manakala nilai pelaburan meningkat.

Anwar juga bimbang peningkatan OPR akan memberi kesan terhadap para peniaga kecil.

“Kita hanya naik (OPR) apabila keadaan ekonomi menuntut sedemikian.

“Jadi sekarang ini tiada keperluan itu, maknanya kesan kepada ringgit,” katanya pada sesi waktu pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai langkah menangani penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Sehubungan itu, Anwar yakin pendolarisasi iaitu langkah mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS dalam perdagangan merupakan penyelesaian jangka pertengahan dan panjang bagi mengukuhkan semula nilai ringgit.

Beliau menjelaskan, pada masa ini, hampir 2.5 peratus perdagangan dengan China dilakukan dengan menggunakan ringgit dan renmimbi selain Indonesia (18 peratus) dan Thailand (18 hingga 20 peratus).

“Kita juga sudah bincang juga dengan negara-negara Arab untuk memulakan pendolarisasi bagi mempertahankan nilai ringgit,” jelasnya.

Sementara itu, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) tidak menjejaskan keistimewaan golongan bumiputera.

Menurut beliau, seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024, program bumiputera terus diberi peningkatan namun pendekatan yang bakal digunakan adalah berbeza. – MalaysiaGazette