LONDON – Presiden FIFA, Gianni Infantino mengumumkan Arab Saudi sebagai penganjur Piala Dunia 2034 selepas Australia menarik diri semalam.
Penarikan diri oleh Australia itu menjadikan Arab Saudi sebagai calon tunggal.
FIFA sebelum ini mengalu-alukan bidaan dari Asia dan Oceania sebelum tarikh akhir semalam untuk menghantar pencalonan.
Australia mengesahkan mereka menarik diri daripada penganjuran Piala Dunia 2034 kerana lebih berminat dalam penganjuran Piala Asia Wanita 2026 dan Piala Dunia Kelab 2029.
Sebelum ini juga, Indonesia pernah cuba meyakinkan Malaysia dan Singapura untuk membida hak penganjuran bersama.
Namun usaha itu tidak kesampaian dan akhirnya Arab Saudi menjadi calon terkuat untuk menganjurkannya.
Arab Saudi yang gagal dalam bidaan Piala Dunia 2030 ketika menghantar bidaan penganjuran bersama Mesir dan Greece telah memutuskan untuk menumpukan sepenuh usaha menjadi penganjur tunggal edisi 2034.
Arab Saudi pada ketika ini sedang dalam fasa membina pembangunan bola sepak dengan pelaburan besar dalam Liga Pro Saudi. – Agensi