KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri akan membuka tiga lagi pusat penempatan sementara untuk tahanan kanak-kanak imigresen yang dinamakan Baitul Mahabbah selepas pembukaan pusat pertama di Nilai, Negeri Sembilan pada 4 September lalu.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Baitul Mahabbah kedua pula akan dilancarkan pada bulan ini.
Menurut beliau, pusat penempatan ketiga dan keempat bakal dibuka termasuk di Sarawak pada tahun depan dengan peruntukan RM10 juta yang diluluskan Menteri Kewangan.
“Jadi kita lakukan secara berdikit-dikit, kanak-kanak ini akan dikeluarkan daripada depoh dan ditempatkan di sana, sementara proses penghantaran pulang diuruskan kedutaan berkenaan.
“Pihak Angkatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Imigresen akan sediakan penjagaan yang lebih baik (berbanding ketika ditempatkan di depoh imigresen) sepanjang mereka di Baitul Mahabbah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin memberitahu, sebahagian daripada kira-kira 1,000 tahanan kanak-kanak warga asing yang sebelum ini ditempatkan di 19 depoh imigresen di seluruh negara sudah dipindahkan ke pusat penempatan sementara dinamakan Baitul Mahabbah di Nilai.
Beliau berkata, inisiatif tersebut membabitkan kanak-kanak warga asing berusia 18 tahun ke bawah.
“Kementerian Dalam Negeri sudah keluarkan sebahagian tahanan kanak-kanak dalam depoh dan setakat ini, terdapat sekitar 1,000 kanak-kanak tetapi angkanya berubah.
“Mereka yang berumur 18 tahun ke bawah ini kita keluarkan daripada depoh kerana keadaan (di sana) yang tidak kondusif untuk kanak-kanak,” katanya. – MalaysiaGazette