Steven Sim Chee Keong
Steven Sim Chee Keong

KUALA LUMPUR – Tambatan nilai ringgit dan kawalan tukaran mata wang asing bukan jalan penyelesaian tepat bagi menangani cabaran ekonomi yang dihadapi negara ketika ini.

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata, antara faktor di sebalik pertimbangan kerajaan dalam hal itu adalah situasi ekonomi dan sistem kewangan negara bertambah baik.

Selain itu, menurut beliau, langkah yang pernah dilakukan ketika krisis kewangan Asia 1998 itu boleh menyebabkan Malaysia tidak bebas dalam menentukan dasar monetari kerana perlu mengikut kadar faedah negara yang mata wangnya ditambat dengan ringgit.

“Contohnya, jika ringgit ditambat dengan dolar Amerika Syarikat (AS) kita perlu menaikkan kadar faedah selari dengan kadar faedah di negara kuasa besar itu.

“Tindakan ini akan memberi tekanan kepada kos pembiayaan yang lebih tinggi kepada rakyat,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Steven menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berhubung cadangan menambat nilai ringgit berikutan nilainya yang menyusut berbanding dolar AS.

Beliau menambah, Malaysia juga memerlukan rizab antarabangsa yang besar untuk mengekalkan tambatan nilai ringgit.

“Jika tidak, kita terpaksa memperkenalkan kembali langkah kawalan modal untuk mencegah dan mengatasi tekanan spekulatif terhadap ringgit,” jelasnya.

Steven juga bimbang pelaksanaan tambatan ringgit boleh memberi kesan negatif terhadap keyakinan pelaburan dan menjejaskan aliran modal.

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) akan memastikan pelarasan nilai ringgit dalam keadaan teratur, selaras dengan tanggungjawab bank pusat itu dalam memastikan kestabilan pasaran kewangan dan mata wang di negara ini. – MalaysiaGazette