Afnan Hamimi Taib Azamudden
Afnan Hamimi Taib Azamudden

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming diminta memberi penjelasan mengenai kenyataannya yang mengaitkan tindakan murid-murid sekolah berpakaian seperti pejuang Palestin dan memegang senjata mainan dengan ekstremisme dan keganasan.

Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, tuduhan kononnya pejuang Hamas adalah pengganas bercanggah dengan pendirian kerajaan.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan pendirian kerajaan bahawa Hamas bukan pertubuhan pengganas dalam sidang Dewan Rakyat semalam.

“Tetapi menteri dalam Kabinet yang sama mengatakan berpakaian seperti Hamas ini pengganas.

“Kenyataan yang berbeza, tak sepakat oleh kerajaan dalam isu ini,” katanya dalam sidang media di Pusat Media Parlimen, hari ini.

Sabtu lalu, Kor Ming ketika membangkitkan isu tersebut melalui hantaran di platform X berkata, sekolah bukan tempat untuk konflik, fahaman ekstremisme dan keganasan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan menambah, sebaliknya, sifat manusiawi dan perasaan cinta keamanan perlu diketengahkan.

“Mereka yang salah guna kuasa dan bertanggungjawab wajib dikenakan tindakan disiplin,” ujarnya.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah-sekolah baru-baru ini. – MalaysiaGazette