GEORGE TOWN – Seramai 49 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Convent Dato Kramat dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Convent Dato Kramat di sini dikejarkan ke hospital kerana mengalami keracunan makanan dipercayai selepas makan nasi lemak di kantin sekolah.
Exco Kesihatan, Belia dan Sukan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, seramai 903 pelajar terdedah kepada keracunan itu dan jumlah yang mengalami gejala keracunan makanan pula sebanyak 49 orang iaitu 21 kes dari SJKC dan 28 kes dari SMJKC.
“Siasatan awal mendapati pelajar SJKC dan SMJKC menggunakan kantin yang sama.
“Punca kejadian dipercayai makan nasi lemak di kantin namun siasatan lanjut masih dijalankan,”katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah Daniel Gooi, terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang melalui Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut telah menerima dua notifikasi kes keracunan makanan daripada hospital swasta di negeri melibatkan dua pelajar sekolah tersebut.
“Susulan kes sama, tiga pelajar dimasukkan ke hospital dan telah dibenarkan keluar selepas selesai rawatan.
“Manakala 14 pelajar mendapatkan rawatan di klinik swasta dan hanya dirawat sebagai pesakit luar manakala baki 32 peserta lagi yang bergejala ringan tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan,” katanya.
Mengulas lanjut Daniel Gooi berkata, pemeriksaan kantin sekolah dan dapur pembekal makanan terbabit juga telah dilakukan dan markahnya memuaskan.
“Bagaimanapun, terdapat beberapa penambahbaikan dari segi kebersihan yang perlu dilakukan oleh pihak kantin sekolah dan juga pembekal makanan terlibat,” katanya. – MalaysiaGazette