Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya meredah banjir bagi menyelamatkan penduduk terjejas banjir.

JOHOR BAHRU – Seramai 61 penduduk dari Lorong Mak Piah, Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, di sini, dipindahkan selepas kawasan mereka dilanda banjir malam semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Faiz Ramli berkata, pihaknya  menerima panggilan berhubung kejadian banjir pada jam 7.31 malam.

“Setibanya di lokasi didapati berlaku banjir kilat setinggi satu meter di kawasan kampung tersebut.

“Anggota bertindak memindahkan penduduk terjejas ke Dewan Raya Sungai Tiram untuk penempatan sementara dengan menggunakan satu unit bot Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ulu Tiram dan satu unit bot orang awam.

“Manakala 40 orang mangsa telah berpindah sendiri ke dewan tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Faiz, pemantauan berterusan masih diteruskan bagi memastikan keselamatan penduduk.

“Kita (bomba) berjaya menyelamatkan dua bayi lelaki, lapan mangsa kanak-kanak perempuan, empat mangsa kanak-kanak lelaki, 20 mangsa perempuan dewasa, 23 lelaki dewasa manakala warga emas lelaki tiga dan warga emas perempuan satu mangsa.

“Jumlah ini menjadikan bilangan keluarga 16 dan jumlah mangsa 61,” ujarnya. – MalaysiaGazette