BUTTERWORTH – Jawatankuasa Perhubungan DAP Bagan menggesa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menamatkan diskriminasi peruntukan tidak sama rata terhadap sekolah vernakular di negara ini yang dikakukan kerajaan terdahulu.

Itu antara tiga resolusi yang dicapai DAP Bagan dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) yang diadakan tiga hari lalu.

Antara lain, DAP Bagan juga menggesa Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menambah peruntukan pembiayaan pembangunan untuk semua sekolah di Pulau Pinang bagi menebus pengabaian oleh kerajaan terdahulu atas sebab yang tidak dapat dijelaskan.

“Kita mahu penamatan diskriminasi terhadap sekolah vernakular di negara ini oleh kerajaan terdahulu dari segi pembiayaan peruntukan pembangunan yang tidak adil tidak mengikut populasi pelajar.

“Pembiayaan pembangunan untuk sekolah vernakular tidak boleh kurang daripada pembiayaan yang dikurangkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan sekurang-kurangnya mestilah sama dengan yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2018.

“Kami juga menggesa Fadhlina segera mengatasi masalah kekurangan guru dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, STEM dan Mandarin di semua sekolah di Pulau Pinang,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Sementara itu, DAP Bagan turut mengumumkan barisan jawatankuasa yang dipilih dalam AGM tersebut.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng kekal menerajui DAP Bagan sebagai Pengerusi dan dibantu oleh dua orang anak kepada bekas Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh sebagai setiausaha dan bendahari.

Phee Syn Tze yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu dilantik sebagai Setiausaha manakala adik lelakinya, Phee Boon Chep dilantik menjadi bendahari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast