Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

ALOR GAJAH – Gabungan Parti Sarawak (GPS) yakin mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak dengan kemenangan lebih besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu ini.

Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata, jangkaan itu berdasarkan rekod pencapaian cemerlang parti dalam membela nasib rakyat selain calon berkaliber dan diterima pengundi.

“Saya baru balik dari Bintulu malam tadi dan nampak sangat cerah peluang GPS untuk menang bergaya.

“Kita nak menang besar dan saya yakin 100 peratus calon parti kita mampu beri majoriti lebih besar mempertahankan kerusi DUN Jepak,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya ditemui selepas menyampaikan Sijil Kompetensi Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) 2023 di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE), di sini, hari ini

Hadir sama, Ketua Pengarah JKR, Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool.

Alexander Nanta (tengah) bersama penerima Sijil Kompetensi Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) 2023 di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE), Alor Gajah, Melaka hari ini.

PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon GPS Iskandar Turkee, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.

PRK DUN Jepak pada 4 November ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lepas.

DUN Jepak mempunyai 22,804 pemilih yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis.

GPS dianggotai PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast