Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bergambar bersama pelajar pada Program Minggu Solidariti Palestin di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali, Ampang Jaya, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 02 NOVEMBER 2023.

AMPANG – Minggu Solidariti Palestin yang sedang dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) didakwa cuba dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, tindakan sesetengah pihak membuat kacau ganggu ke atas penganjuran program itu telah menimbulkan salah faham berhubung tujuan asal ia dilakukan.

Katanya, program itu bertujuan menerapkan mesej berhubung perkembangan Palestin-Israel selain menjadi sebahagian daripada proses pendidikan yang mengambil kira tahap pemahaman murid berhubung konflik di Tebing Barat.

“Ia juga bertujuan mengetengahkan pendirian negara dalam isu konflik Israel-Palestin sekali gus muncul sebagai platform untuk memastikan mesej berkenaan dapat disampaikan kepada semua murid di negara ini.

“Sekolah mempunyai dinamiknya yang tersendiri. Jadi menjadi tanggungjawab guru untuk memastikan mesej ini sampai mengikut aktiviti yang dirasakan sesuai dengan ekosistem pendidikan negara.

“Malah, menjadi tanggungjawab kementerian untuk memastikan mesej kemanusiaan dan kedamaian ini sampai kepada pelajar.

“Kita sudahpun mengadakan libat urus sebelum program ini dilaksanakan, selain ia turut membabitkan bantuan intervensi sekiranya timbul sebarang masalah di peringkat kementerian secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada ketika ditemuib selepas menghadiri Program Minggu Solidariti Palestin di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr Ahmad Rafee Che Kassim serta Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Dr Jafri Abu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali dengan panggilan Altimet dan ADUN Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamaruddin.

Sementara itu, Fadhlina menegaskan, garis panduan penganjuran program tersebut telah itu disampaikan secara jelas kepada komuniti pendidikan, sekaligus menolak pelbagai perdebatan berhubung perkara berkenaan.

Ditanya mengenai garis panduan penganjuran program itu, Fadhlina berkata, perkara berkenaan tidak wajar diperdebatkan di media sosial kerana ia dirangka secara jelas bagi komuniti pendidik.

Bagaimanapun setiap sekolah boleh meminda mengikut keperluan masing-masing, selain, menjadi tanggungjawab kepada guru untuk memastikan mesej yang cuba disampaikan dapat difahami murid mengikut aktiviti bersesuaian.

Sebelum ini, garis panduan KPM mendapat kritikan segelintir pengguna media sosial yang menyifatkan ia tidak jelas dan tidak mencerminkan program berkenaan.

Antara dua garis panduan itu ialah ‘jangan hanya menonjolkan perspektif satu pihak’ serta ‘elakkan menggunakan simbol atau ikon boleh menimbulkan kontroversi’.

Minggu Solidariti Palestin anjuran KPM di semua institusi pendidikan bermula pada 29 Oktober lalu dan bakal berakhir esok. – MalaysiaGazette