KUALA LUMPUR – Seperti yang dijangkakan, Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini.
Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi.
BNM berkata, MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil.
Menurutnya, bagi ekonomi Malaysia, anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK0 menunjukkan kegiatan ekonomi bertambah baik pada suku ketiga.
Pertumbuhan pada tahun 2024 akan didorong terutamanya oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan, dengan sokongan daripada eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang dijangka pulih.
Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan terus menyokong perbelanjaan isi rumah.
Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat.
Manakala aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek infrastruktur berbilang tahun yang terus dilaksanakan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional.
Langkah-langkah di bawah Belanjawan 2024 juga akan memberikan dorongan tambahan kepada kegiatan ekonomi.
Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar dan berpanjangan.
Sementara itu, kemungkinan pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada jangkaan, permintaan E&E yang pulih dengan lebih teguh serta pelaksanaan projek sedia ada dan projek baharu yang lebih pantas.
Seperti yang dijangka, inflasi keseluruhan dan inflasi teras telah menjadi sederhana disebabkan terutamanya oleh tekanan kos yang semakin reda. Pada suku ketiga, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata pada 2.0% dan 2.5%.
Menjelang tahun 2024, inflasi dijangka kekal sederhana.
Tamabahnya, risiko terhadap prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global.
Yang penting, hasrat Kerajaan untuk mengkaji semula kawalan harga dan subsidi pada tahun 2024 akan mempengaruhi prospek keadaan inflasi dan permintaan.
Jangkaan persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi untuk jangka masa yang lebih lama di Amerika Syarikat (AS) serta kebimbangan yang meningkat berhubung dengan ketegangan geopolitik yang semakin meruncing telah menyumbang kepada dolar AS yang terus kukuh.
Keadaan ini telah mempengaruhi mata wang negara maju dan negara sedang pesat membangun lain, termasuk ringgit. Walau bagaimanapun, perkembangan ini dijangka tidak menjejaskan prospek pertumbuhan Malaysia.
BNM akan terus menguruskan risiko volatiliti yang ketara, termasuk menyediakan mudah tunai, bagi memastikan pasaran pertukaran asing domestik dapat berfungsi dengan teratur.
Institusi kewangan terus beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh dengan keadaan kewangan domestik terus kondusif untuk pertumbuhan kredit yang berterusan.
Dalam pada itu, katanya, ekonomi global terus berkembang, didorong oleh permintaan dalam negeri berikutan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh.
Sektor E&E mula menunjukkan beberapa tanda pemulihan namun perdagangan global terus lemah, sebahagiannya disebabkan oleh peralihan perbelanjaan daripada barangan kepada perkhidmatan dan sekatan perdagangan yang berterusan.
Pertumbuhan global terus terjejas disebabkan oleh inflasi yang masih tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi, dengan beberapa ekonomi utama mengalami momentum pertumbuhan yang semakin perlahan.
Terdapat tanda-tanda awal yang menunjukkan pertumbuhan China semakin baik meskipun pasaran harta tanah China terus lemah.
Inflasi keseluruhan global meningkat sedikit sebahagiannya disebabkan oleh harga komoditi yang lebih tinggi, manakala inflasi teras terus sederhana.
Pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat dan prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, disebabkan terutamanya oleh inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan, ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara mendadak.
BNM berkata, mesyuarat ini juga meluluskan jadual mesyuarat MPC untuk tahun 2024, yang mana selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, mesyuarat MPC akan diadakan sebanyak enam kali pada tahun 2024.
Pernyataan Dasar Monetari akan diumumkan pada pukul 3 petang pada hari terakhir setiap mesyuarat MPC. – MalaysiaGazette