Warga UTM pamerkan sokongan menerusi perhimpunan solidariti UTM bersama Palestin petang tadi.

JOHOR BAHRU – Keadaan cuaca panas terik disusuli hujan lebat tidak mematahkan semangat kira-kira 1,000 warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menunjukkan tanda sokongan terhadap Palestin melalui perhimpunan dan perarakan Solidariti UTM Bersama Palestin.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Nadratul Huda Ahmad berkata, perhimpunan itu merupakan pengisian hari kedua bagi Program UTM Bersama Palestin.

Nadratul Huda

Program dua hari itu adalah hasil kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM dengan persatuan lain di institusi tersebut, termasuk Rakan Pusat Islam (RPI), Persatuan Mahasiswa Islam, Kelab Debat, Pidato dan Pemikiran Kritis (Depikir), Sekretariat Rukun Negara (SRN) dan Unit Kebudayaan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM.

“Hari ini menunjukkan kami keluarga UTM bersoladiriti bersama-sama dengan apa yang telah berlaku kepada saudara Islam kami di Palestin dan ia telah pun bermula sejak semalam. Pelbagai aktiviti diadakan termasuklah bermunajat,” katanya.

Menurut Nadratul Huda, inisiatif ini juga adalah satu usaha dalam membangunkan mahasiswa yang holistik mencakupi pelbagai aspek kehidupan bukan sekadar cemerlang daripada segi intelektual dan berkemahiran tinggi bahkan cakna dengan isu sejagat yang bakal membentuk jati diri mahasiswa sebagai modal insan berharga negara.

Tambah beliau, perhimpunan tersebut dijalankan secara aman tanpa provokasi yang boleh menimbulkan kesan negatif demi menjaga nama baik universiti sebagai sebuah intitusi pendidikan tinggi.

“Bahan-bahan bagi tujuan ini juga dibekalkan oleh penganjur seperti bendera dan mafla kepada peserta perhimpunan berkenaan.

“Pihak MPP UTM juga bersama Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) sentiasa memberi perhatian dan sokongan kepada mahasiswa warga Palestin yang berada di UTM dalam membantu mereka mengharungi saat getir memikirkan keluarga yang kini berdepan konflik di bumi Palestin,” katanya.

Unit Endowmen UTM turut melancarkan Tabung Bantuan Palestin bagi membantu rakyat negara berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast