Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Dr Massila Kamalrudin dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Universiti bagi tahun 2022.

AYER KEROH – Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Universiti bagi tahun 2022.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Prof Dr Zulkifilie Ibrahim berkata, majlis AAU UTeM tahun 2022 merupakan pengiktirafan istimewa untuk ahli akademik UTeM merangkumi pelbagai aspek kecemerlangan termasuk pengajaran, penyelidikan, penulisan dan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Tambah beliau, majlis AAU menjadi satu tradisi sejak tahun 2009 dan dorongan penting kepada staf  untuk terus meningkatkan pencapaian dan sumbangan mereka dalam dunia akademik.

“Sebanyak 13 kategori anugerah telah disediakan yang mana pemilihan pemenang adalah berdasarkan kepada penilaian yang telah dibuat oleh panel jawatankuasa penilai AAU yang dilantik.

“Penerima utama bagi setiap kategori menerima sebuah trofi, sijil penghargaan dan wang bernilai RM4,000. Manakala bagi penerima saguhati akan menerima sijil penghargaan dan wang bernilai RM500,” katanya semalam.

Majlis AAU 2022 itu dilangsungkan bersekali dengan Majlis Makan Malam Konvokesyen ke 19 UTeM di Courtyard By Marriot Hotel, Melaka.

Anugerah utama sempena Anugerah Akademik Universiti (AAU) UTeM 2022 itu disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Mohammad Yusof Apdal.

Penganugerahan itu sekali gus melayakkan Dr Massila menerima sebuah trofi, sijil dan wang tunai sebanya RM8,000.

Pada masa yang sama, beliau turut menerima Anugerah Penerbitan Buku Bidang Sains dan Teknologi dalam majlis yang sama.

Sehingga tahun 2022, beliau meraih 11 anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta mendapat 52 sanjungan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa kerana sering dijemput sebagai Keynote dan Invited speaker. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.