Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Foto MUHD NA’IM, 03 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) beralasan kerajaan mengenakan jaminan-jaminan tertentu kepada pihaknya punca gabungan itu enggan meneruskan rundingan bagi mendapatkan peruntukan ahli Parlimen.

Jelas Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, PN tidak akan mengikut ‘klausa’ tersebut kerana berpandangan jaminan-jaminan tersebut tidak sepatutnya berlaku dalam mana-mana perjanjian antara pembangkang dan kerajaan.

“Kita tidak akan tulis apa (jaminan-jaminan) kepada kerajaan untuk mendapatkan peruntukan dari kerajaan. Itu adalah janji dalam manifesto PH,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat gabungan itu di Publika hari ini.

Takiyuddin berkata, jaminan-jaminan itu diminta oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam dua pertemuan yang dibuat kedua-dua pihak.

“Apa yang diminta daripada TPM2 ini ialah supaya pihak pembangkang menulis surat kepada mereka memberikan jaminan jaminan tertentu dan sebagainya,” katanya lagi.

Turut hadir adalah Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Hamzah pula berkata, perkara itu hanyalah perbincangan di peringkat awal antara Takiyuddin dan Fadillah.

“Belum jaminan hanya perbincangan peringkat awal. Kita akan maklumkan,” katanya dalam sidang media sama.

Dalam pada itu, Takiyuddin mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutarbelit kenyataannya yang mengakui sudah memberi peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

“Dia (Anwar) kata, tak bermakna, tak beri. Di Parlimen tertentu, berapa projek diluluskan, itu bukan isunya. Ini soal peruntukan kepada ahli Parlimen yang diberikan sebelum ini oleh kerajaan,” katanya.

Peruntukan kepada pembangkang banyak kali dibangkitkan termasuk di Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen PN berulang kali mendesak mereka turut diberikan peruntukan daripada kerajaan.

Anwar juga mengingatkan pembangkang, sekiranya mereka mahukan peruntukan, mereka perlu segera berbincang dengan Fadillah.

Sehingga kini isu tersebut masih belum menemui penyelesaiannya. – MalaysiaGazette