Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini menjadi tumpuan apabila ada dakwaan wujud usaha menarik keluar ahli Parlimen parti berkenaan secara konsisten.

Demikian pendedahan bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Seri Wan Saiful Wan Jan menerusi siaran langsung di TikTok malam tadi.

Beliau mendakwa, pelbagai tawaran menarik diberikan sebagai habuan untuk meninggalkan parti tersebut termasuklah pelawaan mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Usaha itu berterusan. Apa yang saya tahu petang tadi, ada yang dapat tawaran pengerusi GLC,  tawaran buat hotel di kawasan, tawaran projek tanaman cili pun ada. Saya tidak terfikir sampai begitu sekali dia target,” katanya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu yakin ahli Parlimen yang tidak berjuang demi kepentingan diri sendiri tidak akan mudah terpengaruh sebaliknya setia dengan Bersatu.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mengumumkan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Tidak lama kemudian, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman mengumumkan sokongan kepada Anwar dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.

Sementara itu, Wan Saiful menegaskan, Bersatu dengan Pas mempunyai hubungan yang baik khususnya dalam kalangan pemimpin atasan.

Ujarnya, meskipun wujud perbezaan pendapat ketika rundingan kerusi pilihan raya negeri baru-baru ini namun hubungan kesemua parti dalam Perikatan Nasional (PN) secara umum tidak terjejas.

“Selepas selesai satu agenda maka kita terus persamaan kita dalam gabungan. Gabungan PN ini kuat kerana hubungan yang kuat kita ada di kedudukan pada hari ini,” tambahnya.-MalaysiaGazette