Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai selepas Majlis Perasmian Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan di Dataran Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 04 NOVEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Golongan pemimpin di negara ini turut dinilai rakyat dari sudut keupayaan mengawal, mendidik, mengasuh dan mengasihi keluarga dalam membentuk kepemimpinan mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya institusi keluarga pemimpin seperti ketua masyarakat, penghulu, ketua kampung apa lagi menteri  itu pun sudah porak-peranda, maka sudah tentu sukar untuk membentuk masyarakat.

Bahkan, kata beliau, pada masa sama,  jika keluarga pemimpin sendiri yang porak-peranda bagaimana hendak mengatur untuk membina balik negara.

“Jadi rakyat negara ini diajak untuk kembali memupuk nilai murni dalam keluarga sejak awal sebagai usaha bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat.

“Amalan itu juga seiring dengan konsep dibawa Kerajaan Madani ketika ini dalam menyatupadukan masyarakat Malaysia.

“Negara Madani wajar dipupuk dan diangkat bermula daripada institusi keluarga dan saya anggap bulan keluarga ini sangat penting untuk menjayakan negara Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaanyang dianjurkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menurunkan tandatangan semasa melawat tapak pameran selepas Majlis Perasmian Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan di Dataran Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 04 NOVEMBER 2023.

Mengulas lanjut, Anwar memberi contoh tragedi yang berlaku di Palestin apabila penduduk negara ini mula didedahkan kepada isu kemanusiaan dan kasih sayang sejagat.

Senario dunia ketika ini kata Perdana Menteri menyaksikan isu keganasan di Palestin membuatkan masyarakat di negara ini mudah tersentuh ekoran sudah dilatih untuk kenal apa itu ihsan.

“Mereka bukan satu kaum dengan kita, ada Arab Islam ada Kristian tetapi latihan asas dari keluarga, kita tahu apa itu kebaikan menyebabkan perasaan terguris bila ada kezaliman.

“Bagi Malaysia yang ada pelbagai kaum dan agama, latihan keluarga penting dalam mendidik anak dari nilai juga menjadi salah satu tonggak memahami negara Madani,” katanya. – MalaysiaGazette

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail beramah mesra dengan kanak-kanak selepas Majlis Perasmian Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan di Dataran Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 04 NOVEMBER 2023.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast