Anthony Loke
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap pada sidang media selepas merasmikan Simposium Rel Antarabangsa di Hotel Movenpick KLIA, Sepang. Foto MUHD NA’IM, 06 NOVEMBER 2023.

SEPANG – Kementerian Pengangkutan menyerahkan kepada pengurusan Malaysia Airlines (MAS) untuk menyelesaikan isu pas masuk elektronik melibatkan seorang warga emas di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), Johor, semalam.

Menterinya, Anthony Loke berkata, beliau yakin pengurusan MAS akan mengambil tindakan terhadap isu yang dibangkitkan itu.

“Saya minta MAS untuk lihat, ini isu pengurusan, bukan dasar pun,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Rel Antarabangsa di sini, hari ini.

Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam hantaran Facebook malam tadi berkongsi kisah seorang warga emas yang nyaris terkandas di lapangan terbang tersebut ekoran isu berkaitan pas masuk elektronik.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu memberitahu, pengawal tidak membenarkan lelaki itu memasuki ruang pemeriksaan keselamatan kerana pas masuknya disimpan dalam telefon pintar milik anaknya.

Seperti yang dijelaskan wanita berkenaan kepada Ka Siong, setiap satu telefon pintar hanya dibenarkan mempamerkan satu pas masuk elektronik dan ia merupakan polisi MAS.

Walau bagaimanapun, lelaki warga emas terbabit dibenarkan memasuki ruang pemeriksaan keselamatan dan menaiki pesawat setelah seorang pegawai MAS tiba di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Anthony berkata, beliau telah mencadangkan kepada Pasukan Petugas Kenderaan Elektrik (EV) untuk memastikan struktur cukai jalan bagi kenderaan tersebut adalah kompetitif dan tidak membebankan.

Beliau memberitahu, langkah itu bertujuan menggalakkan penerimaan orang ramai terhadap EV.

“Ini sudah tentu memerlukan usaha yang berpanjangan dan tidak mudah anjakan yang lebih besar ini dari kenderaan konvensional kepada EV.

“Ia memerlukan usaha berterusan pelbagai pihak dan sudah tentu Kementerian Pengangkutan menyokong usaha kerajaan dan dasar pembangunan EV,” jelasnya. – MalaysiaGazette