Pengerusi Federal Power Holdings Sdn Bhd, Datuk Seri Noorha Wisma Hisham Abd Wahab menunjukkan laporan polis terhadap pentadbir laman Facebook Jenjarom Community di luar pekarangan Balai Polis Sungai Jarum, Jenjarom, Banting, hari ini. Foto: NIZAM ZAIN

BANTING – Seorang pemilik kilang bateri panel solar, Datuk Seri Hisham Abd Wahab hari ini membuat laporan terhadap pentadbir akaun laman Facebook Jenjarom Community kerana memuat naik artikel berbaur fitnah.

Pengerusi Federal Power Holdings Sdn Bhd itu berkata, artikel yang dimuat naik pada 6 Januari 2021 bertujuan untuk memalu dan mengaibkannya, sekali gus mengancam kredibiliti sebagai seorang ahli perniagaan.

Beliau berkata, pentadbir Jenjarom Community didakwa menyalahguna dan memutarbelitkan satu artikel akhbar tempatan bertarikh 12 Julai 2018 berkenaan kes mahkamah beliau yang telah dibuktikan tidak bersalah.

“Pentadbir laman Facebook itu telah memutarbelitkan fakta dengan tujuan menabur fitnah kepada saya dan mencemarkan nama baik saya dan untuk menyekat perjalanan perniagaan saya.

“Mereka telah menggunakan ayat-ayat hasutan dan tuduhan tanpa membuat semakan fakta (“fact check”) terlebih dahulu.

“Walaupun media sosial merupakan tempat perkongsian namun tidak semua perkara boleh dikongsi.

“Apabila ia melibatkan privasi saya seperti menyebarkan gambar saya ke tempat awam tanpa izin (“Privacy Intrusion”) dan fitnah terhadap saya, maka saya harus mengambil tindakan,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Balai Polis Sungai Jarum, Jenjarom, di sini, hari ini.

Terdahulu Hisham membuat satu laporan ke atas pentadbir laman Facebook Jenjarom Community kerana memfitnah beliau masih terlibat jenayah rasuah sedangkan mahkamah membebas dan melepaskan beliau pada 14 Ogos 2023.

Sebelum ini, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi (Jenayah) Kuala Lumpur melalui surat bertarikh 15 Ogos 2023 memaklumkan kepada Hisham mengenai Rayuan Jenayah Mahkamah Rayuan (W-09-150-04/2022) bahawa pendakwa raya iaitu Jabatan Peguam Negara telah mengemukakan Notis Pemberhentian/ Notis Penarikan balik Rayuan bertarikh 14 Ogos 2023.

Surat itu memberitahu bahawa Pengurusan Kes pada 25 Ogos 2023 adalah dilapangkan dan rayuan itu disifatkan telah ditolak sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Aturan 73, Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.

Mengikut notis penarikan balik rayuan itu, pendakwa raya tidak berpuas hati dengan keputusan Yang Arif Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid yang diberikan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur pada 1 April 2022 setelah memberi notis untuk merayu bertarikh 14 April 2022.

“Dengan ini memberikan notis bahawa pendakwa raya tidak berhasrat untuk meneruskan rayuan tersebut,” kata surat itu yang ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar pada 14 Ogos 2023.

Dalam pada itu, Hisham juga melahirkan rasa kesal apabila memorandum yang diserahkan kepada Menteri Besar Selangor pada 23 November 2021 turut mengaitkan nama beliau dengan kes rasuah yang dihadapinya sebelum ini.

“Penduduk Kampung Jenjarom memanipulasikan laporan media kononnya saya pernah dituduh menerima rasuah RM58,000 pada 2018, sedangkan saya telah dilepaskan dan dibebaskan oleh mahkamah.

“Ini mewujudkan satu situasi yang kurang menyenangkan untuk mempercayai janji-janji yang diberikan saya berkenaan operasi kilang ini,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan untuk menyaman pentadbir akaun laman Facebook Jenjarom Community kerana memfitnahnya dalam masa terdekat.

“Setelah mendapat khidmat nasihat guaman berkenaan perkara ini, saya memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Ia untuk melindungi nama baik saya dan perniagaan saya yang selama ini telah menjadi mangsa buli siber (“Cyber Bully) oleh pihak Jenjarom Community (facebook),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. senang je,ko x yh bukak kilang bodoh ko tu kt jenjarom la sial…dtng sini bawak bala je,elok terbakar lagi kilang ko tu..

Comments are closed.