JASIN – Polis menumpaskan satu sindiket curi kabel telekomunikasi yang bergiat aktif di Melaka dan Johor selepas tertangkapnya lima anggotanya, semalam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kesemua anggota sindiket berumur antara 19 hingga 37 tahun itu ditahan di beberapa lokasi sekitar Jasin, Melaka dan Muar, Johor antara jam 6.45 pagi hingga 11 pagi.
Menurutnya, tangkapan suspek terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan itu dilakukan pada hari sama selepas menerima laporan berkaitan kehilangan kabel telekomunikasi berkenaan pada jam 2 pagi.
“Terdahulu, laporan polis dibuat seorang juruteknik syarikat telekomunikasi selepas menerima maklumat berkaitan kerosakan kabel di sebuah kawasan di Sungai Rambai, Jasin.
“Pemeriksaannya di lokasi mendapati kabel sepanjang 250 meter dianggarkan bernilai hampir kira-kira RM8,200 telah dipotong,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Tambahnya, susulan itu polis melancarkan gerakan sebelum menahan dua suspek lelaki dan perempuan berusia 19 dan 37 tahun di Sungai Rambai, Jasin.
Turut ditahan adalah seorang suspek perempuan berusia 20 tahun serta dua lagi suspek lelaki berusia 19 dan 28 tahun di Muar.
“Turut dirampas, lapan gelung kabel telekomunikasi, beberapa alat pemotong dan dua kenderaan bernilai RM45,000.
“Kesemua suspek yang berasal dari Kuala Lumpur dan Johor itu ditahan reman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.
Tambah Zainol, kesemua mereka turut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette.