KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia seolah tidak sependapat mengenai peperangan antara Israel dan Palestin, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu berkata, ramai percaya perang itu berpunca dari perbezaan antara rakyat Palestin dan orang Yahudi dan mungkin berpuncanya perang bermula.
Namun jelas beliau, keadaan ketika ini sudah seperti pencabulan hak asasi ke atas rakyat Gaza.
“Seperti manusia lain yang punyai hak, rakyat Gaza juga berhak menikmati hak kemanusiaan. Tetapi hak mereka dirampas orang Israel.
“Kita tidak mungkin lupa sekitar 1930an, Yahudi di Jerman dirampas hak kemanusiaannya. Tragedi holocaust menyebabkan 6 juta orang Yahudi dibunuh. Lebih ramai lagi sengsara diseksa dan ditindas.
“Dunia bersimpati terhadap Yahudi di Jerman. Dan sebahagian dari bantahan terhadap Nazi adalah sifat kebinatangan Nazi Jerman,” tulis beliau di Facebook miliknya hari ini.
Mahathir menambah, jutaan manusia mati untuk mengakhiri kesengsaraan orang Yahudi dan sekarang masyarakat menyaksikan orang Yahudi Israel pula melakukan rampasan hak ke atas rakyat Palestin.
Tegas beliau, ini tragedi kemanusiaan dan perlakuan orang Israel ke atas rakyat Palestin adalah sama seperti yang dilaku Nazi terhadap orang Yahudi.
“Ia jelas tidak adil dan tidak berperikemanusiaan dan semua rakyat Malaysia perlu tolak perbuatan merampas hak kemanusiaan yang dilaku orang Israel terhadap rakyat Palestin.
“Adalah salah apabila hanya umat Islam sahaja yang menuntut pengakhiran pembunuhan besar-besaran yang dilaku Israel.
“Seluruh rakyat Malaysia perlu merasa terganggu dan desak serangan Israel ke atas rakyat Palestin dihentikan,” katanya. – MalaysiaGazette