KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia dinasihatkan agar membuat semakan dengan pihak berkuasa terlebih dahulu berhubung tawaran kerja di luar negara bagi mengelakkan daripada terjebak dengan aktiviti penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alimin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai maklumat berhubung iklan-iklan pekerjaan di luar negara memandangkan pihak berkuasa itu turut terlibat dalam Jawatankuasa Bertindak Menangani Aktiviti Penipuan Pekerjaan.
Katanya, orang ramai boleh mendapatkan pandangan berkenaan iklan pekerjaan yang diketahui sama ada ia sahih atau sebaliknya dengan memperoleh maklumat itu di mana-mana balai polis berdekatan.
“Ingatan saya kepada seluruh warganenara Malaysia supaya peka, jangan mudah terpengaruh, jangan mudah percaya dengan sebarang tawaran pekerjaan yang dibuat terutamanya di media sosial.
“Tawarannya cukup hebat, diberikan tiket penerbangan percuma, diberikan penginapan percuma, diberikan elaun yang tinggi, diberikan makan minum percuma, memang hebat dan menarik.
“Jadi, berwaspadalah…jika ada sebarang tawaran sebegini sebelum terima tawaran itu saya mohon sangat supaya periksa terlebih dahulu,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PN-Jerai) yang mahu kerajaan menjelaskan apakah pesanan jawatankuasa dalam menangani isu penipuan pekerjaan yang ditubuhkan oleh kerajaan memandangkan isu berkenaan dilihat semakin serius.
Mengulas lanjut Mohamad berkata, kerajaan tidak mahu lagi melihat ribuan rakyat di negara ini menjadi mangsa kepada penipuan seperti itu sehingga ada rakyat di negara ibi yang tersekat dan diseksa oleh sindiket terbabit.
Katanya, apa yang telah berlaku sebelum ini sepatutnya dijadikan pengajaran dan tidak boleh dibiarkan berulang.
Terdahulu, Mohamad berkata, dalam usaha mewujudkan kesedaran mengenai bahaya sindiket penipuan tawaran pekerjaan ini, Kementerian Luar Negeri (KLN) telah memanfaatkan pelbagai platform yang tersedia seperti media sosial, media massa, media arus perdana dan hebahan secara fizikal bagi mempertingkatkan kesedaran rakyat.
Antara usaha yang dilakukan adalah hebahan kesedaran menggunakan infografik dan video serta dokumentari pengalaman sebenar mangsa “Job Scam” yang dimuat naik di laman rasmi media sosial seperti Youtube dan Facebook KLN serta PDRM.
Selain itu, penyampaian taklimat kesedaran kepada pelajar-pelajar universiti serta pembukaan ruang reruai seperti semasa Hari Wisma Putra pada 4 November lalu turut diadakan.
“Kerajaan akan meningkatkan lagi hebahan kesedaran ini kepada lebih ramai lagi rakyat Malaysia melalui pelbagai Program Seranta yang telah dirancang,” tambahnya. – MalaysiaGazette