Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Satu sindiket rangkaian antarabangsa yang aktif terlibat dalam jenayah penjualan template penipuan serta pancingan data kewangan (phishing) di laman web gelap berjaya ditumpaskan oleh polis.

Sindiket yang terdiri daripada lapan individu termasuk seorang wanita warga Thailand yang didalangi lelaki tempatan yang berperanan utama sebagai pembangun perisian telah dilumpuhkan menerusi serbuan di empat negeri Sabah, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua suspek yang ditahan itu terdiri daripada tujuh lelaki warga tempatan dan wanita Thailand berusia lingkungan 29 hingga 56 tahun.

“Siasatan awal polis mendapati salah seorang lelaki dari Sabah berusia 36 tahun itu dipercayai dalang atau ketua sindiket yang memainkan peranan pembangun perisian yang akan dijual di dalam serta luar negara iaitu Australia serta Amerika Syarikat (AS).

“Suspek dipercayai menyasarkan laman web rasmi kerajaan Australia dan institusi perbankan luar negara serta organisasi yang mengendalikan laman web beralamat (.gov) dan (.edu) dengan menyediakan template pancingan bagi mendapatkan maklumat peribadi pelayar internet secara tidak sah.

“Pembongkaran ini telah membawa kepada polis merampas peralatan elektronik antaranya komputer dan server yang didaftarkan atas nama suspek utama di Technology Park Malaysia (TPM) yang digunakan sebagai web hosting services ke atas laman web www.bulletproftlink.com selain sitaan barang kemas, kenderaan dan e-wallet bernilai hampir RM1 juta atau lebih tepat RM965,808,” katanya dalam sidang media khas kejayaan itu di Tingkat 31, Menara 1 Bukit Aman hari ini.

Razarudin berkata, serbuan yang dilaksanakan dengan kerjasama Polis Persekutuan Australia (AFP) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) AS mendapati kegiatan sindiket ini bukan sekadar terlibat penipuan namun dikesan turut menjual template yang dihasilkan iaitu kepada mana-mana pihak yang mahu melakukan penipuan di dalam mahu pun di luar negara dengan kaedah perhubungan komunikasi menerusi aplikasi Telegram selain mempunyai akses kawalan penuh terhadap laman web www.bulletproflink.com.

Tambah Razarudin, setakat ini, pihak PDRM telah menerima sebanyak 37 laporan membabitkan jumlah kerugian bernilai RM1,223,701.80..

Empat daripada lapan suspek yang ditangkap itu memiliki beberapa rekod lampau bersabit kes dadah, tipu serta judi, katanya.

Jelasnya, polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) telah membuka sebanyak 17 kertas siasatan dan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.

“Siasatan lanjut yang dijalankan oleh polis juga berjaya mengesan sebanyak 1,038 nama pengguna (username) dan kata laluan (password) milik rakyat tempatan yang turut terdiri daripada penjawat awam termasuk dari Kastam telah diakses oleh sindiket itu secara tidak sah.

“Siasatan lanjut kami mendedahkan modus operandi sindiket yang mula beroperasi sejak 2015 ialah menghasilkan template seolah web tertentu dan akan keluar pop-up yang akan diklik oleh mangsa sehingga membolehkan data, kata laluan dan nama pengguna itu boleh diakses dan diperolehi oleh sindiket dari Malaysia dan juga AS.

“Polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman masih menyiasat nilai dan harga bagi jualan template terbabit, siapa pembeli dan lain-lain.

“Malah kita juga percaya nilai wang hampir sejuta ringgit yang dikesan dalam e-wallet sindiket itu berkemungkinan lebih banyak dan besar jumlahnya daripada yang disangkakan serta siasatan kami sedang menjurus ke arah itu untuk menentukan nilai sebenar yang terlibat penipuan ini.

“Selain itu, sindiket ini juga dikesan terbabit dengan dua skim penipuan pelaburan tidak wujud ‘CFG International’ serta pelaburan mata wang kripto ECCoin yang menggunakan platfom Huobi,” tegasnya. – MalaysiaGazette