Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan bercakap kepada media mengenai kejayaan pihak polis dalam menumpaskan sindiket pengedaran dadah heroin, heroin base dan methamphetamine ketika di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 09 NOVEMBER 2023.

SHAH ALAM – Dua sindiket pengedaran dadah lumpuh dengan penahanan 10 individu dalam serbuan yang dilakukan polis pada 2 dan 3 November lalu.

Serbuan tersebut membawa kepada rampasan heroin seberat 15.498 kilogram (kg), heroin base seberat 49.525 kg serta syabu seberat 261.766 kg bernilai RM10.39 juta.

Pengedaran dadah jenis heroin dan heroin base dilakukan di kawasan Klang manakala dadah jenis syabu diedarkan di kawasan Sungai Buloh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mereka yang ditahan itu dipercayai beroperasi sebagai transporter berusia antara 18 hingga 44 tahun.

Kata beliau, dalam kes pertama pada jam 11.25 hingga 12 tengah hari, 2 November lalu pihaknya menahan seorang lelaki menaiki pikap, Ford Ranger di Bandar Puncak Alam yang membawa kepada penemuan 241 bungkusan dadah jenis methaphetamine (syabu) seberat 250.78 kilogram (kg).

Tambahnya, susulan tangkapan itu, pada jam 12 tengah hari sama polis menahan tiga lagi suspek lelaki di sebuah restoran di Pusat Perdagangan Puncak Alam Jaya yang membawa kepada rampasan sembilan bungkusan syabu seberat 9.3 kilogram.

“Mereka (yang ditahan) terdiri daripada seorang pengurus ladang kepala sawit, peniaga bundle dan penganggur berusia 34 hingga 39 tahun.

“Semakan rekod mendapati salah seorang memiliki tiga rekod lampau kes dadah dan ujian saringan awal air kencing negaratif,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor, hari ini.

Menurut Hussein, dalam kes kedua, sepasukan polis melakukan tangkapan ke atas enam lelaki bersebelahan kandang kambing di Kapar, Selangor pada jam 6 petang, Jumaat lalu

Katanya, pemeriksaan ke atas kesemua suspek membawa kepada penemuan satu paket plastik mengandungi 44 peket lutsinar berisi heroin seberat 62 kg.

“Berpandukan arah oleh enam suspek itu, polis telah dibawa ke kawasan berdekatan kandang kambing sebelum menjumpai 109 paket lutsinar berisi heroin seberat 49.463 kilogram dan lapan paket berisi syabu seberat 1.6 kilogram serta 41 ketulan mampat dibaluti plastik lutsinar dan kertas warna kuning heroin base seberat 15.498 kg yang didapati ditanam di dalam empat lubang tanah di kandang kambing tersebut.

“Hasil siasatan lanjut mendapati kesemua suspek berusia 18 hingga 34 tahun dan empat suspek bekerja di kandang tersebut manakala dua lagi adalah buruh.

“Semakan juga mendapati lima daripadanya mempunyai 38 rekod jenayah lampau manakala empat daripadanya positif dadah jenis Opiate,” ujarnya.

Hussein berkata, kedua-dua sindiket itu dipercayai beroperasi sejak lebih setahun lalu dan bekalan diperolehi daripada negara jiran di Utara Semenanjung.

Katanya, suspek yang berperanan sebagai transporter diupah antara RM5,000 hingga RM10,000 dan semua dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 2.38 juta penagih.

Tambah beliau, polis turut menyita empat buah kenderaan jenis Toyota Vellfire, Honda Stream dan dua Honda City serta satu akaun bank berjumlah RM269,229

Jelas Hussein, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Sabtu lalu di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 sebatan. – MalaysiaGazette