Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini susulan tindakan dua lagi ahli Parlimen dari partinya menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mesyuarat itu akan diadakan bagi membincangkan tindakan dua lagi ahli Parlimennya yang mengatakan sokongan kepada Anwar.

“Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini untuk membincangkan perkembangan terbaharu ini.

“Saya mendapat maklumat bahawa terdapat gerakan terancang daripada parti lawan untuk melemahkan Bersatu dan Perikatan Nasional dengan menggunakan sogokan dan ugutan terhadap ahli-ahli Parlimen.

“Bersatu tidak akan tunduk terhadap pakatan jahat ini dan tindakan yang lebih tegas akan diambil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dua ahli Parlimen PN itu adalah Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Sebelum ini, dua Ahli Parlimen PN, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdu Khalid (Kuala Kangsar) serta Suhaili Abdul Rahman (Labuan) terlebih dahulu berbuat demikian pada bulan lalu.

Menurut Muhyiddin, tindakan itu bercanggah dengan pendirian dan telah melanggar disiplin parti selain membelakangi mandat rakyat yang memilih mereka atas dasar keyakinan terhadap prinsip perjuangan Perikatan Nasional (PN).

“Saya menyeru ahli-ahli Bersatu supaya kekal tenang dan istiqamah mempertahankan prinsip perjuangan parti sementara kepimpinan tertinggi Bersatu menangani perkara ini,” ujarnya.

Pada minggu ini, Bersatu mengambil ketetapan untuk menggantung keahlian Iskandar dan Suhailu dengan masing-masing digantung empat serta enam tahun oleh Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu.

Dalam pada itu, menurut sumber terdekat parti itu, mesyuarat tergempar akan diadakan di Publika pukul 8 malam ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tanang saja. Kurang2 dah kenai mana satu ahli yg tak tahan godaan wang ringgit. Yg penting kami rakyat tetap undi PN.

Comments are closed.