Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menasihati orang ramai berhati-hati dengan iklan menggunakan suara dan rakaman video beliau dalam mempromosi produk kesihatan palsu.

Dalam satu ciapan di ruang X (Twitter) rasminya, beliau telah mengesan iklan yang tidak bertanggungjawab menggunakan suaranya untuk mempromosi produk ubat kencing manis.

“Kepada semua netizen, pastikan anda tidak tertipu dengan deepfakes iklan yang tidak bertanggungjawab menggunakan suara saya dan video rakamkan untuk promosi ubat kencing manis yang palsu,” katanya dalam ciapan tersebut hari ini.

Dr Noor  Hisham mendapati akaun deepfakes juga merupakan akaun palsu sambil meminta orang ramai tidak mengakses atau melayan sebarang perkongsian daripada akaun itu.

Katanya, akaun palsu itu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan membuat suntingan untuk memakai suara dan videonya.

“Akaun tersebut juga palsu. Sila maklum dan uar-uarkan supaya kita tidak tertipu dengan teknologi AI dan deepfakes,” kata beliau dalam ciapan tersebut.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, beliau tidak mahu rakyat khususnya netizen tertipu dan menjadi mangsa iklan palsu  kepada awam.

Selain itu menurutnya, video asalnya telah dirakam oleh pihak DNDi di Geneva pada tahun 2018.

“Saya sudah telah mengemukakan aduan rasmi kepada pengurusan Facebook yang memantau aktiviti dalam media sosial berkenaan.

“Yang penting sekali adalah saya mahu mendidik orang awam supaya tidak terjerat dengan iklan atau promosi palsu sebegini,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast