ahmad maslan
Ahmad Maslan (dua dari kanan), Mohd Khairuddin Aman Razali (paling kanan) dan Anwar Ridhwan (dua dari kiri) pada majlis perasmian Seminar Bahasa Tonggak Perpaduan 'Bahasa Jiwa Bangsa' di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Perbezaan kelas antara kaum dan wilayah yang bakal menjauhkan lagi jurang komunikasi antara rakyat dikhuatiri akan berlaku jika bahasa Melayu tidak dicintai dan dikuasai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya situasi itu berlaku, elemen perpaduan yang sangat ditekankan oleh Kerajaan Madani pada masa ini pasti menemui kegagalan.

“Kepada para cendekiawan, pejuang dan pencinta bahasa, pembuat dan pelaksana dasar berkaitan pemartabatan bahasa di dalam negara, saya ingin menegaskan bahawa seminar ini perlu mencari punca dan hakikat sebenar isu penguasaan dan kecintaan terhadap bahasa Melayu yang melibatkan pelbagai kaum dan wilayah seperti tidak berkesudahan.

“Oleh yang demikian, segala permasalahan perlu diteliti secara terperinci bagi penyediaan pelan pelaksanaan strategi untuk menyelesaikan permasalahan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Bahasa Tonggak Perpaduan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr Anwar Ridhwan dan Penasihat Agama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Ahmad Zahid juga mahu seminar tersebut menjadi medan dan gelanggang mencari penyelesaian yang ampuh dan secara holistik.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, hal itu bagi memastikan isu pemerkasaan bahasa tidak ditangani secara rakus, drastik dan kasar yang mampu menyebabkan ketegangan serta menjadi ‘bom jangka’ yang bakal memusnahkan negara bangsa ini.

“Kita tidak mahu sikap dan pendirian sekelompok rakyat Malaysia yang tidak menghayati hasrat murni ini akan menyebabkan usaha membentuk perpaduan bangsa melalui bahasa ini menemui kegagalan.

“Manakala, kegagalan menguasai bahasa Melayu dari segi individu pula perlu ditangani agar mereka tidak janggal dan canggung menggunakan bahasa Melayu di negara sendiri,” jelasnya.

Malah, Ahmad Zahid menambah, bahasa Melayu seharusnya menjadi bahasa yang penting untuk mereka terus maju dalam bidang pendidikan dan kerjaya khususnya melalui aliran perdana di dalam negara. – MalaysiaGazette