Pihak pengurusan, pelajar USIM dan kakitangan Perkeso yang terlibat dalam Karnival Kerjaya USIM X MYFutureJobs 2023.

NILAI – Baru-baru ini Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Karnival Kerjaya USIM X MYFutureJobs 2023 kali ketiga dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bertempat di Dewan Tuanku Canselor USIM.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Professor Dr. Adnan Mohamad Yusoff berkata, antara objektif karnival ini diadakan adalah untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan pelajar-pelajar.

“Program ini bukan sahaja terbuka kepada anak-anak daripada warga USIM tetapi war-war kan peluang ini kepada anak-anak yang ada di sekitar Nilai, Negeri Sembilan dan Lembah Klang,” ujar Prof Adnan.

Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapannya berkata, Karnival Kerjaya USIM X MYFutureJobs 2023 diadakan dengan memberi tujuan untuk memberikan satu ruang kepada bakal graduan atau mereka yang mencari kerja untuk mereka bentuk masa depan mereka.

“Pada dua atau tiga tahun lepas kita dilanda Covid-19, kebolehpasaran kerja graduan sangat terjejas. Maka pengangguran teramat dirasai bukan sahaja graduan di dalam negara malah graduan di luar negara.

“Oleh itu, pelbagai inisiatif telah diadakan untuk memastikan bahawa kadar pengangguran itu dapat dikurangkan dan anak-anak yang sedang mencari kerja diberikan seluas-luas platform, ruang untuk mereka mendapatkan kerja yang mereka idamkan,’ katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Hilang Upaya, Darsshni Thangarajah berkata, karnival ini bukan untuk satu golongan sahaja, tetapi pelbagai golongan juga boleh memohon pekerjaan termasuk golongan tersasar seperti wanita dan banduan.

“Pengangguran dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) sangat membimbangkan kerana pengambilan OKU agak susah.

“Jadi, Perkeso menyediaka platform untuk golongan kurang upaya ini untuk mendapatkan semua pekerjaan,” ujar pegawai Perkeso itu. – MalaysiaGazette

 

Mardhiah Ghazali